Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 20, 2014

PEMANDU JENGKAUT TERKEJUT BAWA PULANG BOM LAMA



Kemaman - Seorang pemandu jengkaut terkejut setelah mengetahui sebutir bom lama yang dijumpainya di sebuah kawasan belukar di Kampung Seri Bandi, dekat sini, pada petang Khamis sebenarnya masih aktif. 

Zukifli Jusoh, 36, menjumpai objek berkenaan kira-kira pukul 7 petang ketika berhenti rehat sebentar di tepi jalan berhampiran kawasan belukar sebelum terlihat satu objek separuh tertanam dalam tanah di tepi jalan berkenaan. 

Katanya tanpa berfikir panjang beliau mengambil objek itu dan bawa pulang ke rumah kerana menyangkakan objek yang ditemuinya itu besi buruk namun selepas diteliti serta mendapat bantuan penduduk kampung, mereka menasihatkan agar besi buruk itu dikembalikan ke tempat asal. 

"Curiga dengan objek berkenaan, kira-kira pukul 12 tengah hari semalam saya ambil keputusan meletakkan kembali objek itu ke tempat asalnya sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

"Namun tidak beberapa lama kemudian, saya sangat terkejut apabila pihak polis memaklumkan objek yang saya sangka besi buruk biasa rupanya sebutir bom yang masih aktif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian. 

Zulkifli berkata beliau bernasib baik kerana tidak mengetuk objek sebesar lengan itu untuk mendapatkan tembaga yang berkualiti padanya. 

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan penemuan bom terbabit petang semalam dan tindakan segera telah diambil bagi memusnahkan bom lama itu. 

Katanya pihak polis tidak menolak kemungkinan bom lama itu telah digugurkan oleh kapal terbang perang pada satu masa dahulu.

0 comments:

share2