Chenor - Seorang ustaz maut apabila motosikal ditunggangi dirempuh sebuah kereta di Kilometer 105 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, kira-kira jam 6.10 petang, kelmarin.
Dalam kejadian berdekatan simpang tiga Chenor itu, mangsa yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Pulai, Zainuddin Yahya, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Abd Razak Abd Majid berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego secara sendirian dalam perjalanan dari Kampung Awah ke Chenor.
Menurutnya, ketika cuba membelok ke kanan untuk memasuki persimpangan tersebut pada masa sama, datang sebuah kereta Proton Iswara dari arah Maran dikatakan tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Perlanggaran kuat menyebabkan mangsa tercampak sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
“Pemandu Iswara cedera di kepala sementara tiga rakan lain tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Menurut seorang saksi yang berada di kedai makan berhampiran, dia hanya menyedari kejadian berlaku selepas mendengar dentuman kuat dari arah lokasi nahas berkenaan.
Katanya, sebaik berpaling muka, dia terkejut melihat kaki mangsa yang terputus tercampak tinggi.
“Sementara kereta itu pula meluru laju terbabas ke semak bahu kiri jalan.
“Orang ramai yang berada berdekatan segera membantu malah ustaz tersebut sempat mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir dengan keadaan jari tangan seperti tahiyat, “katanya.
0 comments:
Post a Comment