Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 13, 2014

KONTROVERSI TOK GAJAH


FAM akan tentukan nasib Gary pasukan mana bakal diwakilinya pada esok.


Kontroversi tidak terlepas buat skuad Tok Gajah dan sebelum musim 2015 membuka tirai, dua isu masih belum menemui jalan penyelesaian membuatkan peminat juara Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih 2014 diselubungi pertanyaan.

Isu pertama pastinya mengenai status sebenar dari skuad Harimau Muda A, Gary Steven Robbat yang didaftarkan untuk dua pasukan lain iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah selain Pahang yang turut menyenaraikan pemain berusia 22 tahun itu dalam skuad kendalian Zainal Abidin Hassan tersebut.

Pemain tengah itu didakwa sudah menandatangani kontrak bersama Pahang pada 14 November lalu bersama rakan sepasukan, D Saarvindran di Kuala Lumpur namun pada tarikh tutup pendaftaran pemain pada 5 Disember lalu, nama pemain yang kini beraksi bersama Harimau Malaya untuk Piala AFF-Suzuki tersenarai dalam dua pasukan tersebut.

Dan kini, nasib pemain itu akan ditentukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan pastinya penyelesaian terbaik diharapkan untuk menamatkan kemelut ini.


Faizol belum muncul

Sementara itu, kelibat pemain tengah, Mohd Faizol Hussain juga masih belum muncul di latihan pasukan itu sejak minggu lalu yang sebelum ini didakwa menandatangani kontrak bersama JDT II.

Namun Setiausaha Kehormat PBNP, Fuzzeimi Ibrahim memberitahu, berdasarkan kontrak dua musim yang ditandatangani Mohd Faizol pada 25 November 2013, kontrak itu hanya berakhir pada 30 November 2015.

Sebelum itu, untuk persediaan musim 2014, Pahang tidak ketinggalan dibelenggu kontroversi membabitkan bekas pemain tengahnya, Amirul Hadi Zainal yang membuat pusingan U bersama JDT namun keputusan muktamad pemain itu menjadi milik juara Liga Super musim ini.


Tiada perubahan besar

Dalam pada itu, tiada perubahan besar dalam skuad Tok Gajah yang membariskan 26 pemain dengan mengekalkan hampir sebahagian muka lama selain menyenaraikan Saarvindran dan bekas pemain pertahanan Kelantan, Mohammad Ab Aziz Ismail, 26 serta membawa masuk Mohd Rizua Shafiqi Kamaruzaman, 21.

Hanya penyerang muda Abdul Malik Mat Ariff, 23 dipinjamkan ke skuad Kuantan FA manakala empat pemain import iaitu Dickson Nwakaeme, Matias Ruben Conti, Damion Delano Stewart dan Zeshan Rehman dikekalkan.

Dalam senarai itu juga, nama pemain tengah Mohd Hafiz Kamal dan penyerang kelahiran Pekan,Mohd Fauzi Rozlan didaftarkan bersama pasukan itu menamatkan keresahan peminat terhadap masa depan pemain itu bersama Pahang bagi musim depan.

0 comments:

share2