Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 13, 2014

'BERAPA LAMA LAGI HARUS KAMI TUNGGU'


Peniaga medan selera kecewa kerja naik taraf gerai di tapak lama tidak siap pada tempoh dijanjikan


Serdang – Peniaga di Medan Selera Taman Seri Serdang melahirkan rasa kecewa apabila projek naik taraf gerai di tapak lama gagal disiapkan dalam tempoh enam bulan seperti dijanjikan.

Kelewatan itu menyebabkan mereka masih tidak boleh berpindah semula dan terpaksa menjalankan perniagaan di tapak sementara.

Ahli jawatankuasa Persatuan Peniaga Medan Selera Taman Seri Serdang, Norizam Kassim, 44, berkata, pihaknya menyewa gerai Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sejak puluhan tahun lalu sebelum dimaklumkan medan selera tersebut bakal dinaik taraf.

Pihak majlis mengarahkan kesemua peniaga makanan berpindah ke satu tapak kosong dan mendakwa ia hanya akan mengambil masa selama enam bulan sebelum boleh berpindah semula ke tapak asal.

Namun selepas genap setahun kelmarin, katanya, peniaga mula tertanya-tanya bila kerja naik taraf itu akan siap kerana terasa beban menjalankan perniagaan di tapak sementara.

Peniaga perlu menyewa kanopi dengan harga RM1,000 sebulan, itu belum masuk lain-lain kos yang jauh lebih tinggi jika berniaga di medan selera.

“Persoalannya, MPSJ tidak beritahu kami status medan selera yang diubahsuai dan dinaik taraf itu sama ada dah siap atau belum. Berapa lama lagi peniaga boleh pindah? Itu semua membuatkan kami tertanya-tanya,” katanya.

Menurutnya, MPSJ dan kontraktor dilantik juga perlu meneliti semula reka bentuk medan selera yang diubahsuai.

“Bentuk bumbung yang dipasang tidak sesuai, jika hujan lebat, air akan tempias dan memasuki ruang yang menempatkan kerusi meja pengunjung menikmati selera,” katanya.

Kos tapak sementara tinggi

Setiausaha persatuan, Hazali Ani, 58, berkata, melihat kepada keadaan terkini di tapak medan selera lama, beliau menjangkakan kerja-kerja naik taraf akan mengambil masa dua atau tiga bulan lagi.

Katanya, semua peniaga akur berpindah sebelum ini kerana dimaklumkan kerja-kerja ubahsuai akan dilaksanakan di medan selera itu.

“Apa yang kami kesal projek ini seolah-olah tertangguh dua hingga tiga bulan lalu sebelum dijalankan kembali bila peniaga mula buat bising.

“Peniaga dah tak tahan berniaga di tapak sementara, kosnya tinggi malah peniaga di premis komersil berdekatan asyik tanya bila kami nak pindah kerana beroperasi atas petak parkir yang biasanya digunakan pelanggan mereka,” katanya.


Pemasangan jubin siap Januari

Sementara itu, wakil MPSJ memberitahu kerja-kerja pembinaan longkang dan pemasangan jubin lantai di medan selera dijangka siap Januari ini.

MPSJ katanya, akan mengambil kira cadangan bersesuaian yang diajukan peniaga dan wakil rakyat berhubung reka bentuk medan selera itu.

Bagaimanapun ia mungkin akan mengambil masa sedikit untuk dilaksanakan.

“Asalnya kesemua unit ada 54, namun selepas diubahsuai menjadi 42 unit. Mereka yang tak bayar sewa atau menyewakan kepada orang lain, tawaran akan ditarik balik.

“Apa yang penting pemindahan peniaga ke medan selera yang diubahsuai ini akan mengutamakan mereka yang lama dahulu,” katanya.

Adun Seri Serdang, Noor Hanim Ismail yang turut meninjau tapak berkata, pihak majlis tidak mungkin dapat menunaikan permintaan peniaga yang mahukan dua unit gerai kerana perlu bersikap adil, menawarkannya kepada orang lain yang lebih memerlukan.

0 comments:

share2