Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, December 29, 2014

JAMINAN PIHAK POLIS


Mohd Mokhtar menyampaikan sijil penghargaan kepada penerima pada perhimpunan bulanan, semalam.


Johor Bahru - Polis akan meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di kawasan terjejas banjir di seluruh negeri ini bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, selain itu, pihaknya turut menempatkan pasukan polis bergerak di pusat pemindahan sementara mangsa banjir di negeri ini.

Menurutnya, setakat ini, beliau tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian kecurian di kediaman mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan, namun sekiranya ada, siasatan segera akan dilaksanakan.

“Kita telah berbincang bagi mengatur strategi dan langkah terbaik untuk menghadapi musim banjir serta bersedia bekerjasama dengan agensi lain yang terlibat. Arahan telah diberikan kepada anggota yang bertugas supaya meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan.

“Kita juga beri jaminan bahawa polis akan memberikan perkhidmatan terbaik dan buat masa ini operasi berjalan dengan lancar. Sebarang masalah yang dihadapi kita minta orang ramai supaya menghubungi bilik gerakan supaya bantuan segera dapat diberikan.

“Dalam suasana yang tidak menentu ini, kita gesa supaya orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan supaya segera berpindah ke pusat pemindahan sekiranya diarahkan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen Polis, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Ismail Yatim.

Dalam pada itu, Mohd Mokhtar berkata, sebanyak 555 saman tertunggak kenderaan asing di bandaraya ini membabitkan bayaran RM99,450 dikutip menerusi Ops Saman yang dijalankan sehingga Sabtu lepas.

“Ia membabitkan kutipan secara tunai yang berjumlah RM64,260 dan RM35,190 secara kad kredit di tiga lokasi yang dibuat iaitu kawasan rehat dan rawat (R&R) Gelang Patah, R&R Pandan dan Kilometer (KM) 2 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi.

“Setakat ini, kira-kira lebih 300,000 saman tertunggak kenderaan asing untuk tempoh dari tahun 2000 hingga 2013,” katanya.

0 comments:

share2