Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, December 14, 2014

DITAHAN SELEPAS SAMUN WANITA


Georgetown - Dua lelaki bukan sahaja berputih mata kerana gagal menyamun seorang wanita di kawasan perumahan di Air Itam, di sini malah ditangkap penduduk setempat sebelum diserahkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, dalam kejadian jam 10.45 malam tadi, wanita berkenaan yang bersendirian baru balik membeli-belah sebelum didatangi dua lelaki berusia lingkungan 20-an menaiki sebuah motosikal.

"Wanita itu baru keluar dari keretanya sebelum seorang daripada lelaki berkenaan cuba menarik beg tangan mangsa sehingga menyebabkan wanita berusia 46 tahun itu terjatuh.

"Dalam masa yang sama mangsa menjerit meminta tolong dan beberapa jiran yang menyedari kejadian itu bertindak mengejar dua lelaki terbabit serta berjaya menahan mereka sebelum menyerahkan kepada polis yang menjalankan Operasi Pencegahan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di kawasan berkenaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Operasi yang bermula pada 10 malam tadi hingga 4 pagi itu disertai 354 pegawai dan anggota polis, Jabatan Pertahanan Awam dan anggota Ikatan Relawan
Rakyat.

Mior Faridalatrash berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu luka di tangan dan lutut selepas terjatuh akibat ditarik suspek.

"Mangsa dihantar ke klinik berhampiran untuk menerima rawatan manakala dua suspek yang terlibat dalam kejadian itu kini direman bagi membantu siasatan," katanya.

0 comments:

share2