Kemaman - Sepasang warga emas yang uzur kerana menderita penyakit bengkak kelenjar dan buah pinggang, nyaris maut apabila kediaman mereka antara satu daripada tiga rumah yang rosak teruk dalam kejadian tanah runtuh di Felda Neram 2, di sini, kelmarin.
Ketika kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Kuntum Embong, 74, dan suaminya, Ngah Abas, 80, sedang tidur di bahagian dapur bagi memudahkan mereka bergerak ke tandas.
Anaknya, Ghazali Ngah, 54, berkata, dia bersyukur kerana dalam keadaan cemas berdepan bencana tanah runtuh itu, dia dan adiknya, Zakia, 50, sempat mengusung kedua ibu bapa mereka ke depan rumah.
Katanya, ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang nyenyak tidur sebelum adiknya mengejutkannya dan memberitahu terdengar bunyi berderap seperti kaki kucing memijak atap rumah.
“Jadi saya terus bangun dan kejutkan isteri serta tiga anak. Lepas tu saya jenguk ke dapur tapi alangkah terkejutnya apabila tengok sebahagian dapur dah runtuh.
“Dalam situasi cemas itu, saya dan adik cepat-cepat meluru ke arah mak dan ayah di sudut dapur serta usung mereka ke depan rumah. Mak dan ayah tidur di bahagian dapur supaya mudah ke tandas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Rumah kedua ibu bapanya di Kampung Seberang Tayor ditenggelami banjir sejak 15 Disember lalu menyebabkan ibu bapa dan adiknya berpindah ke rumahnya.
Bimbang rumah ranap
Menurutnya, bencana itu dipercayai berlaku disebabkan tanah di bahagian belakang rumah mereka dan dua lagi jiran bersebelahan menggelongsor menyebabkan rumah mereka runtuh.
“Kejadian tanah runtuh yang pertama kali terjadi ini memang di luar jangkaan saya. Tak sangka hujan lebat sejak waktu Isyak lagi buatkan tanah di bahagian dapur runtuh.
“Tapi saya bersyukur sebab kedua-dua ibu bapa saya berjaya diselamatkan,” katanya.
Dalam kejadian itu, rumah Ghazali paling teruk mengalami mengalami kerosakan di bahagian dapur berbanding dua lagi rumah jirannya yang turut mengalami kerosakan di bahagian sama.
Lokasi rumah terbabit terletak di satu kawasan berbukit, berada tidak jauh dengan cerun. Struktur rumah berkenaan runtuh pada ketinggian kira-kira 30 meter.
Berikutan kejadian itu, semua mangsa terbabit kini menumpang sementara di kediaman jiran kerana bimbang rumah mereka bakal ranap bila-bila masa berikutan hujan lebat yang masih berterusan.
Sementara Itu, Penolong Pengurus Besar Wilayah (Komuniti) Felda Wilayah Terengganu, Badriah Che Omar ketika ditemui berkata, Felda akan mencari tempat tinggal sementara yang selamat untuk mereka.
Menurutnya, Felda akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan semasa hasil penilaian yang akan dilakukan oleh ibu pejabat Felda yang akan datang melawat mereka dalam masa terdekat.
0 comments:
Post a Comment