Bentong - Semalam telah berlangsungnya Mini Karnival Moh Santai Bersama Tengku Arif Bendahara Pahang di Dataran Bentong. Mini karnival ini dianjurkan oleh Majlis Belia Daerah Bentong bersama Persatuan Belia Sikh Daerah Bentong.
Ketibaan Yang Amat Mulia, Tengku Arif Bendahara Pahang diiringi oleh sekumpulan penunggang motorsikal vespa dan disambut oleh Ahli Parlimen Bentong, Dato Seri Liow Tiong Lai. Turut bersama beliau adalah Pegawai daerah Bentong, En Azhar bin Haji Arshad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, En Mohammad Shahid Bin Ismail serta Pengerusi Majlis Belia Daerah Bentong, En Ahmad Nilhakim Bin Abdul Rahim.
Di dalam karnival ini, para belia berpeluang menyertai pertandingan bola sepak 9 sebelah dan juga pertandingan bola jaring. Selain itu, terdapat juga pertandingan mewarna kanak kanak, Pertandingan autoshow kereta, acara sukaneka dan persembahan B-Boy serta Bar Bento.
Didalam ucapan alu aluan, Dato Seri Liow Tiong Lai telah menerangkan kepada YAM Tengku Arif, Bendahara Pahang bahawa penduduk Bentong sentiasa mendapat khidmat yang terbaik didalam bidang kesihatan dan juga telah menaiktarafkan hospital Bentong terutama semasa beliau menjawat jawatan Menteri Kesihatan. Beliau turut berjanji akan meneruskan usaha membantu penduduk Bentong selaku Menteri Pengangkutan pula.
Di dalam program ini, YAM Tengku Arif, Bendahara Pahang turut memberikan bantuan persekolahan kepada murid yang kurang berkemampuan, serta memberikan sumbangan kepada warga emas, para belia serta kanak kanak. YAM Tengku Arif Bendahara Pahang turut meluangkan masa melawat tapak jualan dan beramah mesra bersama para peniaga yang mengambil peluang untuk berniaga sempena karnival ini berlangsung.
0 comments:
Post a Comment