Georgetown - Siapa sangka seorang kanak-kanak yang dahulunya tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi, kini bergelar Ratu Cantik Duta Pertubuhan Bangsa Bersatu 2014 di Kanada.
Dengan ketinggian 161.3 sentimeter (cm), Sonia Sharma, 24, berjaya mencipta sejarah dan menewaskan peserta dari 80 negara, sekali gus membuktikan ketinggian bukan faktor utama untuk seorang bergelar ratu cantik.
"Ia masih membelenggu saya sehingga ke hari, saya hampir putus asa hanya kerana beberapa komen negatif yang dimuat naik dalam talian.
"Ketinggian saya hanya 161.3 cm menyebabkan beberapa individu berkata saya tidak sepatutnya menyertai pertandingan ratu cantik, kerana mereka tidak tahu ada pemenang ratu cantik yang pendek," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah neneknya di Tanjong Bungah di sini hari ini.
Walaupun menetap di Kanada sebagai pemastautin tetap bersama ibunya, Gita Sharma, 50, yang merupakan pekerja sosial, Sonia berkata, Malaysia sentiasa dalam ingatannya kerana mempunyai ramai anggota keluarga yang menetap di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
"Walaupun saya berada di Kanada sejak berusia 13 tahun, namun saya tetap sayang Malaysia dan Malaysia tetap nombor satu di hati saya kerana di sini saya dilahirkan dan saya mempunyai seorang nenek yang sangat rapat dengan saya," kata Sonia yang boleh bertutur bahasa Melayu dan kini sedang menyambung pengajiannya.
Anak tunggal ini berkata, beliau merancang untuk menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang memberi fokus kepada kaum wanita seperti pendidikan.
Sementara itu, nenek Sonia, Shakuntla Devi Sharma, 71, berkata beliau sangat bangga dan gembira dengan kejayaan cucu kesayangannya itu kerana berjaya mengharumkan nama negara di luar negara.
"Sonia adalah cucu yang paling saya sayang. Dia kehilangan ayahnya sejak berumur 14 bulan. Walaupun dia tinggal di Kanada, saya tetap menyebut dan menceritakan kisahnya kepada rakan-rakan dan jiran-jiran. Sekarang saya amat berbangga dengan pencapaian beliau yang membawa nama negara ke mata dunia," katanya.
0 comments:
Post a Comment