Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, December 27, 2014

BENCANA BANJIR - MENCARI IKHTIBAR DARI KEMUSNAHAN


Kesan Banjir Di Kuala Tahan -Foto Kiriman Sabri Abdullah


Hujan  mula berhenti dan langit sudah kembali cerah terutama di bahagian pedalaman Pahang. Air sungai utama disebelah hulu Sungai Pahang sudah beransur surut. Sungai Jelai dan Sungai Tembeling sebagai sungai utama sudah surut walaupun belum kembali ke keadaan asal namun sudah menampakkan harapan.

Yang tinggal adalah kesan-kesan kemusnahan yang jelas dapat dilihat ditebing-tebing sungai. Rumput rampai dan daunan yang layu di kiri-kanan sungai jadi petunjuk setinggi mana air telah menenggelamkannya buat beberapa hari ini.

Jeti bot di Kuala Tahan dengan deretan kedai musnah sama sekali. Yang tinggal hanyalah kenangan dan kerugian yang bakal dihitung oleh pemiliknya, namun segala itu tidaklah terbanding dengan harga nyawa sendiri, keluarga dan sanak saudara. Mujur di Kuala Tahan tiada kehilangan jiwa dilaporkan akibat banjir kali ini.

Mungkin kerajaan patut memikirkan Taman Negara sudah perlu ditutup pada musim tengkujuh bagi mengelakkan perkara tidak diingini dari berlaku terutama kepada para pelancong asing. Jika pulau-pulau boleh ditutup jadi kenapa tidak pula dengan destinasi hutan.

Bandar Kuala Lipis dan Jerantut juga dikhabarkan sudah beransur-ansur pdari dari bencana alam yang menakutkan itu. Memang, menurut yang pernah mengalami, banjir kali ini lebih dahdari dari banjir tahun 1972 walaupun mungkin tidak sehebat 'Bah Kuning' tahun 1926 kerana kita tidak ada rekod yang nyata mengenainya.

Semua pihak patut mengambil ikhtibar dari apa yang berlaku kali ini. Dimana kelemahan kita dalam menyampaikan maklumat tentang banjir serta kelemahan didalam usaha menyelamat yang dijalankan. Jalan-jalan raya utama yang menghubungkan dengan sesuatu destinasi utama harus dipastikan tidak lagi tenggelam supaya perhubungan tidak terputus dengan begitu mudah.

Dalam hal ini, jalan dari Jerantut ke Kuala Tahan perlu diberi perhatian utama memandangkan ianya bukan sahaja menghubungkan rakyat tempatan bahkan para pelancong asing juga. Janganlah hendaknya peristiwa 123 pelancong terkandas dalam banjir dahsyat di Taman Negara berulang lagi kerana ini berkaitan dengan hubungan antara negara.

Lebuhraya Pantai Timur diantara Maran dengan Karak adalah laluan kritikal sejak beberapa tahun lalu apabila banjir berlaku, dan kali ini ianya sedang tenggelam dan memutuskan hubungan diantara Kuala Lumpur dengan Kuantan. Adalah sangat tidak wajar bahawa lebuh raya yang sangat diharapkan dapat menghubungkan diantara sesuatu bandar utama gagal melaksanakan tanggungjawabnya.




Banjir di LPT berhampiran Temerloh


Kota Bharu masih tenggelam dan dalam keadaan yang sangat teruk. Entah berapa kemusnahannya masih belum dapat ditentukan. Bahkan entah berapa kehilangan jiwa akibat dari banjir berkenaan yang kita tidak ketahui.

Sungai Kelantan mengganas dan tidak memaafkan manusia akibat dari pencerobohan hutan yang tiada kawalan di hulunya. Kita sudah tahu pasti betapa kawasan Lojing sudah digondolkan dan berapa banyak kawasan hutan di hjulu Sungai Lebir yang miusnah. Hanya beberapa meter sahaja dari sempadan Taman Negara di Kelantan, hutannya dimusnahkan dengan rakus.


Kota Bharu tenggelam


Mungkin ramai yang masih kurang faham betapa pentingnya hutan hujan tropika ini diselamatkan dan dibiarkan dalam keadaan asal. Lantai hutan yang tidak diusik ibaratkan lapisan 'sponge' yang dapat menyerap hujan sebelum dialirkan ke sungai, Apabila hutan ditebang maka air hujan akan terus mengalir kedalam sungai disamping membawa segala lumpur dan pasirnya. Disitulah kemusnahan alam bermula.

Memang pembangunan memerlukan pengorbanan, namun perngorbanan juga boleh diminimumkan impaknya kepada alam dan manusia untuk jangka panjang. Pembangunan mesti dilakukan dengan lebih teratur dan terancang dengan mengambil kira kesan kepada ekosistem.

Dalam lawatan saya ke Norway, saya lihat disana terdapat banyak terowong-terowong yang dibina bagi mengelakkan dari bukit-bukit ditarah. Pembinaan perumahannya juga sangat mengambil kira muka bumi dengan meminimumkan penarahan. Bangunannya dibina mengikut kontor muka bumi dengan mengelakkan mengubah muka bumi. Tasik, paya dan sungainya sentiasa dipelihara. Apakah kita tidak boleh melakukan perkara sama?


Satu dari antar berpuluh terowong di Bergen


Perumahan di Bandar Bergen - 
bayangkan jika bukit itu juga diruntuhkan


Pegawai-pegawai jabatan kerajaan kita selalu melakukan lawatan ke luar negara namun apakah mereka tidak mengambil kebaikan dari luar negara untuk dipraktikan di negara kita? Dimana silapnya kita? Apa pegawai perancang bandar kita buat selama ini bagi memastikan sistem saliran kita dalam keadaan baik serta ekosistem tidak termusnah?

Maaf, saya hanya ada soalan-soalan dan saya tidak menemui dimanakan jawapannya dan dari siapakah yang wajar saya mendapatkan jawapannya.

DYTM Tengku Mahkota Pahang baru-baru ini menegur dan meminta kerajaan tempatan mendalamkan parit dan longkang-longkang bagi mengelakkan dari banjir kilat berlaku. Memang ada beberapa kawasan di sekitar ibu negeri yang sering mengalami banjir kilat akibat dari sistem perparitan yang kurang sempurna. Jadi, apabila Raja sudah bersuara, apa lagi yang ditunggu? Lakukanlah segera kerana kata-kata Raja adalah titah!



THE FOREST


~ Tok Awang Selampit

0 comments:

share2