Teluk Intan - Pembayaran pertama Bantuan Rakyat 1Malaysia 4.0 (BR1M 4.0) akan dilaksanakan bermula hujung Januari depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Beliau berkata pemohon baharu bantuan itu diminta membuat permohonan segera manakala penerima sedia ada perlu mengemas kini semula maklumat peribadi sebelum tarikh tutup pada 31 Disember ini.
"Pemohon baharu (BR1M) perlu membuat permohonan segera sebelum tarikh tutup pada 31 Disember, kemudian kita akan proses untuk melihat mereka yang layak sebelum pembayaran dibuat hujung Januari ini.
"Bagi penerima sedia ada mereka perlu mengemas kini maklumat kerana sukar untuk kita beri pampasan kepada waris penerima yang meninggal dunia kerana mereka tidak letak nama pewaris pada borang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Kelulusan Membina Surau Baharu Perumahan Awam Jalan Padang Tembak di sini hari ini.
Ahmad Husni berkata penerima digalakkan membuka akaun bank supaya proses pembayaran dapat dilakukan secara efisien memandangkan pembayaran BR1M adalah sebanyak tiga kali setahun.
Dengan mengambil kira peningkatan hasil Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan April 2015 dan kemampuan fiskal, kerajaan mengumumkan BR1M dinaikkan untuk semua kategori penerima.
Kadar BR1M dinaikkan daripada RM650 kepada RM950 untuk isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah manakala bagi isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000, kadar BR1M dinaikkan daripada RM450 kepada RM750.
BR1M akan dibayar pada Januari, Mei dan September.
0 comments:
Post a Comment