Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 26, 2014

SOHAIMI: AMBIL SERIUS UCAPAN TIMBALAN PRESIDEN


Sohaimi Shahadan

Kuala Lumpur - Semua perwakilan dan ahli Umno diseru untuk mengambil serius ucapan Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk memperkasakan Umno terutama di peringkat bahagian dan cawangan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Sohaimi Shahadan berkata, sebagai parti yang menjadi tunjang kepada BN yang menerajui kerajaan, Umno perlu sentiasa relevan dengan perjuangan kerana harapan rakyat terhadap parti ini terlalu tinggi.

Katanya, beliau cukup yakin perwakilan dan ahli memahami mesej yang cuba disampaikan oleh Timbalan Presiden dalam ucapannya yang bertajuk ‘Merekayasa Perubahan Mendepani Zaman’, hanya tinggal soal melaksanakannya sahaja.

"Inilah masa yang terbaik untuk kita memantapkan kembali parti yang kita sayangi ini. Perwakilan perlu bawa balik amanat Timbalan Presiden itu ke peringkat akar umbi supaya boleh dilaksanakan dengan mantap," katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin ketika merasmikan serentak Perhimpunan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC malam semalam.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin menegaskan Umno mesti melakukan perubahan drastik jika ingin kekal relevan dengan peredaran masa termasuklah membuang budaya negatif yang dikaitkan dengan parti itu.

Muhyiddin turut menggariskan lima perkara mengenai parti berusia 68 tahun itu iaitu pertama, mereka kata Umno sedang mengalami 'trust deficit' atau defisit kepercayaan; kedua, Umno ini parti feudal; ketiga, dalam Umno ada budaya 'play safe' dan budaya pak turut; keempat, Umno dikuasai oleh warlord; dan kelima, Umno diancam oleh budaya ugut dan budaya tabur.

Sohaimi berkata, dalam suasana politik semasa, pastinya cabaran yang dihadapi Umno dalam pelbagai bentuk dan ia seharusnya didepani dengan penyatuan serta pengukuhan dalam parti sebagai benteng untuk menepis sebarang serangan untuk mempertahankan hak orang Melayu.

"Survival parti perlu konsisten dan berterusan kerana pemimpin datang dan pergi. Kita harus siapkan parti ini dalam keadaan terbaik untuk diwarisi kepada anak-anak kita dan generasi akan datang," katanya.

Mengenai usaha peremajaan parti, Sohaimi berkata, beliau bersetuju sekiranya ianya dilaksanakan dengan melahirkan lebih banyak pemimpin muda kerana ini adalah 'last call' untuk Umno terus relevan.

"Pada masa yang sama, kita juga menunjukkan keazaman bahawa Umno mahu berubah. Malah saya turut menyokong individu yang menjadi penghalang kepada agenda ini perlu undur diri secara terhormat dengan segera," katanya.

0 comments:

share2