Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, November 27, 2014

SIKAP PENTINGKAN DIRI PEMIMPIN CAWANGAN, BAHAGIAN RUGIKAN UMNO - TUN M



KUALA LUMPUR: Sikap ketua cawangan dan bahagian UMNO yang mementingkan diri sendiri dan menyekat bakat baharu untuk mencabar mereka, hanya akan melemahkan UMNO secara keseluruhan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata adalah penting bagi semua anggota Umno untuk menilai dan menegur semula cara pemilihan pemimpin yang diamalkan, baik dari peringkat cawangan, bahagian, hinggalah ke peringkat pucuk pimpinan.

"Cawangan tidak terima sesiapa yang berkebolehan mencabar ketua cawangan. Ini adalah kerana ada habuan bagi ketua cawangan.

"Oleh itu yang dapat masuk UMNO hanyalah orang Melayu yang kurang berbakat daripada ketua cawangan. Apabila ketua cawangan meninggal, penggantinya ialah orang yang lebih lemah daripadanya," menurut Dr Mahathir dalam entri terbaharu blog beliau bertajuk 'Selamat Bersidang UMNO' hari ini.

Memetik UMNO Selangor sebagai contoh, bekas presiden UMNO itu berkata, UMNO Selangor masih tidak mampu menawarkan kepimpinan alternatif bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat negeri itu kepada mereka, ekoran sikap pentingkan diri sesetengah pemimpin yang enggan diri mereka digantikan orang lebih berkebolehan.

Dr Mahathir berkata, jika perkara ini berterusan, UMNO sendiri yang akan rugi kerana orang yang mempunyai bakat dan berkebolehan tidak dapat menjadi pelapis kepada kepimpinan sedia ada, dan memilih parti lain untuk dijadikan platform.

"Kerana kecewa, ada yang berbakat dan berjiwa UMNO menyertai parti lain. Maka akan merosotlah UMNO dan akan hilanglah parti keramat ini," tegas Dr Mahathir, yang menyifatkan dirinya sebagai 'orang tua UMNO'.

Menyentuh Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang bermula hari ini, selain membincangkan perkara berkaitan bumiputera dan UMNO, beliau menyeru para perwakilan agar menggunakan pentas ini untuk menegur pemimpin, bagi menjamin kepentingan parti dan negara secara amnya.

"Tanpa teguran pemimpin akan percaya segala yang dilakukan olehnya betul belaka. Tetapi sebenarnya ada yang dilakukan olehnya salah dan tidak baik.

"Pemimpin pula perlu dengar teguran ini dan ambil berat pandangan wakil. Janganlah selalu mendengar orang tertentu yang di keliling kita sahaja," katanya.




0 comments:

share2