Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 1, 2014

PROJEK JAMBATAN, TEROWONG PONTIAN - KARIMUN DAPAT MINAT PELABUR

Projek jambatan, terowong Pontian-Karimun dapat minat pelabur




PULAU KARIMUN: Cadangan pembinaan Jambatan dan Terowong dari Kukup, Pontian ke Kepulauan Riau (JOKARI) yang diutarakan pengkaji dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada awal tahun ini mendapat petanda positif.

Dekan Penyelidikan Bersekutu Pembinaan UTM, Prof Dr Muhd Zaimi Abd Majid, projek ini sudahpun mendapat minat pelabur walaupun masih di peringkat cadangan.

Tambahnya, pihaknya juga bersedia menubuhkan syarikat perunding bagi projek berharga RM16 bilion ini sekiranya ia mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.

Namun begitu, Muhd Zaimi enggan mendedahkan identiti serta jumlah yang sedia dilaburkan pihak terbabit.

“Kita sedang berusaha untuk mengadakan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Indonesia. Setelah mendapat kerjasama kedua pihak, kita akan perincikan projek ini lalu menyerahkannya kepada sektor swasta,” jelas Muhd Zaimi yang ditemui pada Bengkel Jambatan Terowong JOKARI di Tanjung Balai, Pulau Karimun, Indonesia.

Projek yang mula diusulkan pada Januari lalu itu melibatkan pembinaan sebuah jambatan lima kilometer dari Kukup, Pontian ke sebuah pulau buatan.

Ia kemudian disambung oleh terowong bawah laut sepanjang 17.5 kilometer menghubungkan Pulau Karimun, Indonesia.

Jambatan lain juga bakal dibina bagi menyambungkan Pulau Karimun ke pulau-pulau lain di Riau yang lain.

Projek itu dijangka memberi impak kepada hubungan dua hala Malaysia – Indonesia terutamanya dari segi ekonomi.

Jambatan Terowong JOKARI itu boleh menyumbang sehingga 3 hingga 4 peratus kepada ekonomi negara.

Sumbangan itu dijangka mencecah sehingga lima peratus selepas sepuluh tahun.




0 comments:

share2