Melaka - Seorang pemandu bas ekspres maut manakala lima penumpang cedera ringan apabila bas itu terbabas dan terbalik di KM 174.1 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara di sini, lewat petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, dalam kejadian jam 6.30 petang itu, Mohd Hazuan Zaharia, 35, berasal dari Banting, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penumpang lain dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata bas yang dalam perjalanan dari Johor Baharu, Johor menuju ke Melaka Sentral di sini, cuba mengelak sebuah kereta yang terbabas ke laluan bas berkenaan.
"Ketika kemalangan, tiada perlanggaran berlaku kerana kereta yang berada di hadapan bas tersebut terlebih dahulu telah terbabas dan melintang di laluan bas menyebabkan pemandu bas mengambil tindakan mengelak, hingga terbabas dan terbalik," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
0 comments:
Post a Comment