Bagi memudahkan peniaga dan pengunjung pasar lambak UTC, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengambil inisiatif menyediakan surau bergerak di tapak pasar lambak berkenaan.
Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan dan Perlesenan MPK, Yusof Husain berkata, usaha MPK menyediakan kemudahan itu adalah bagi memenuhi tuntutan agama selain memudahkan warga Kuantan untuk beribadat terutama pada waktu Maghrib.
Menurutnya, peniaga digalakkan memberhentikan perniagaan selama 30 minit bagi menunaikan solat Maghrib di surau yang disediakan.
“Kemudahan itu bukan sahaja untuk 163 peniaga di sini tetapi juga untuk pengunjung. Kemudahan ini adalah bukti kesedaran selain tanggungjawab kepada warga Kuantan.
“Buat permulaan, kita sediakan dua unit surau bergerak untuk ruang muslimat dan muslimin bersolat,” katanya pada Pelancaran Surau Bergerak sempena Minggu Inovasi MPK, di sini, semalam.
Hadir merasmikan, Kadi Kuantan, Abdul Zaki Mat Zin.
Sementara itu, Abdul Zaki berkata, usaha MPK itu amat wajar dan berharap peniaga serta pengunjung memanfaatkan kemudahan tersebut.
Beliau berkata, dalam mencari rezeki, soal ibadat tidak boleh diabaikan.
“Justeru, saya berharap selepas ini tiada lagi alasan untuk tidak bersolat memandangkan kemudahan surau bergerak ini telah memudahkan selain dekat dengan tapak pasar lambak ini.
“Insya Allah rezeki yang diperoleh hasil jualan akan lebih berkat,” katanya.
Peniaga yang ditemui, Saiful Mohd Latpi, 23, berkata, kemudahan itu amat dihargai dan akan digunakan sebaik mungkin.
“Sebelum ini saya bersolat di surau di UTC tetapi bila ada surau bergerak di tapak pasar ini, saya rasa lebih mudah dan dekat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment