Kerajaan negeri sehingga kini percaya penternakan ikan sturgeon tidak merosakkan ekosistem alam namun pelaksanaannya masih di peringkat kajian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif menegaskan penternakan ikan itu dilaksanakan di dalam kolam dan tidak membabitkan sungai.
Menurutnya, kemasukan jenis ikan itu juga mempunyai kaitan dengan eko-tourism di negeri ini kerana turut menjadi sebahagian daripada makanan kegemaran penduduk eropah.
“Ikan itu bukan perosak dan saya sudah melihat sendiri bagaimana bentuknya dan tidak mengganggu ekosistem lain,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini Malaysia sudah terbabit dengan spesies ikan berkenaan dengan pemprosesan dagingnya yang dilakukan di Perak.
“Kalau ikutkan pukat tunda lebih bahaya daripada spesies ikan ini kerana merosakkan ikan kecil dan hidupan laut,” katanya.
Merujuk kepada Facebook Kami bantah projek penternakan ikan sturgeon Kuala Tahan Shafik Fauzan bertegas supaya masyarakat tidak terlalu percaya dengan media sosial yang menggembar-gemburkan keburukan penternakan itu sehingga menimbulkan panik masyarakat.
Facebook yang dibuka Mac lalu kini mendapat 7,496 sukaan.
Menurutnya, media sosial yang memaparkan kesan negatif tidak boleh dipercayai kerana membesarkan isu negatif.
Katanya, beliau percaya kemasukan ikan sturgeon turut meningkatkan k-ekonomi negeri sekali gus dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
Projek ternakan sturgeon ini adalah usahasama Felda dan sebuah syarikat Korea iaitu MMC Hassed Co. Ltd. bagi menghasilkan ekonomi baru bagi generasi baharu Felda dan kampung tradisional dengan pengeluaran caviar.
Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) bertindak sebagai rakan kerjasama strategik Felda dalam projek ini.
0 comments:
Post a Comment