Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 11, 2014

KUANTAN : MASALAH LALAT RESAHKAN PENDUDUK

Mohd Nor risau perniagaan kedai makannya dan peniaga lain terjejas akibat masalah lalat yang berlaku kebelakangan ini. 


“Ada pelanggan masuk dan belum sempat buat pesanan, mereka keluar mungkin sebab jijik melihat keadaan kedai banyak lalat.

“Kadang-kadang kita sebagai peniaga serba salah apabila melihat minuman pelanggan dihinggapi lalat malah ada yang gagal menghabiskannya kerana serangga itu terjatuh ke dalam cawan,” luah peniaga kedai makan di kampung Selamat, Jalan Kuantan- Pekan dekat sini.

Bagi Mohd Nor Ali, 63, keadaan itu berlaku kira-kira tiga bulan lalu sehingga menimbulkan rasa kurang selesa pelanggan untuk singgah minum atau makan di kedainya.

Menurutnya, masalah lalat itu paling ketara pada waktu pagi sedangkan ketika itulah pelanggan ramai datang untuk bersarapan.

“Kalau pelanggan dari kalangan penduduk mereka faham masalah ini sebaliknya bagi pelanggan luar.

“Bagi mengatasi masalah ini, kami sebagai peniaga di sini menggunakan lima hingga tujuh keping gam perangkap lalat selain menyapu ubat khas di atas meja,” katanya ketika ditemui semalam.

Dakwanya, masalah lalat itu mungkin disebabkan wujudnya ladang ternakan ayam dalam kawasan kampung itu memandangkan sebelum ini masalah itu tidak serius.

Bagi Mohd Razali Sulaiman, beliau bimbang kehadiran lalat mencemarkan makanan yang dihidangkan di kedainya sekali gus menjejaskan perniagaan yang menjadi sumber rezeki menyara keluarga.

“Sekarang ini pelbagai jenis penyakit muncul, kita bimbang jika masalah lalat ini tidak diatasi kemungkinan ada pelanggan mengalami keracunan makanan dan lebih serius sekiranya wabak penyakit bawaan serangga ini seperti taun berlaku.

“Kita juga bimbang sekiranya berlaku kes keracunan melibatkan pelanggan, peniaga dipersalahkan kerana masalah lalat ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Selamat, Mohd Alim Daud berkata, masalah kehadiran lalat berlaku sejak tiga bulan lalu dipercayai selepas wujudnya sebuah ladang ternakan ayam dalam kawasan kampung itu.

“Saya menerima banyak aduan daripada penduduk terutama yang tinggal berdekatan ladang dan peniaga kedai makan berhubung masalah lalat ini.

“Saya akui aduan itu berasas memandangkan saya tinggal di kampung ini dan melalui sendiri masalah seperti yang diajukan penduduk itu,” katanya.

Menurutnya, masalah itu menimbulkan kebimbangan dan rasa tidak selesa penduduk tambahan pula menjelang musim hujan.

“Bila ada kenduri sama ada di rumah penduduk atau surau, saya sering menerima aduan berhubung masalah lalat ini namun setakat ini tiada jalan penyelesaian cuma sekadar semburan racun serangga bagi mengurangkan kehadiran serangga tersebut,” katanya.

Menurutnya, beliau akui pembukaan ladang ternakan yang diusahakan anak tempatan itu mendapat kelulusan Jabatan Veterinar kerana kedudukan 50 meter dari rumah penduduk.

“Satu mesyuarat melibatkan Jawatan Kuasa keselamatan Kampung (JKKK) bersama Veterinar dijalankan pada bulan Jun lalu dan ketika itu tiada bantahan dibuat mengambil kira jaminan agensi terbabit walaupun dapat bayangkan masalah yang bakal timbul kerana jarak yang agak dekat,” katanya.

Menurutnya, kebimbangan penduduk itu menjadi kenyataan apabila masalah lalat ini berlaku dan paling teruk penduduk yang tinggal berhampiran.

“Kita tidak halang kegiatan ekonomi dalam kampung ini apatah lagi dalam kawasan tanah persendirian cuma berharap jika masalah lalat ini berkait dengan ladang itu, pengusahanya perlu mengambil langkah sewajarnya,” katanya.

Dia berkata, pihak Veterinar juga diminta supaya mengkaji semula syarat kelulusan operasi ladang ayam dalam kawasan kampung mengambil kira jarak yang lebih munasabah dan jauh dari penempatan.

“Masalah ini bukan sahaja membawa ancaman penyakit malah menjejaskan imej kampung di mata masyarakat luar,” katanya.







0 comments:

share2