IPOH – “Bolehkah emak masuk syurga” itulah pertanyaan seorang ibu, Zaiton Mohd Shariff, 59, terhadap anaknya sebelum ini berakhir tragedi selepas maut dalam kemalangan di Kilometer 246.9, Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Tol Jelapang di sini, semalam.
Zaiton, salah seorang daripada 28 penumpang bas dari Kuala Perlis, maut di tempat kejadian selepas bas yang dinaikinya melanggar belakang treler bermuatan simen kira-kira jam 2 pagi.
Anak sulungnya, Suraya Sulaiman, 40, berkata, dia tidak menyangka pertanyaan itu membawa petanda bahawa ibunya pergi buat selama-lamanya.
“Kami adik beradik terpinga-pinga dengan pertanyaan emak itu dan mula rasa tidak sedap di hati. Sebelum pergi ke Pulau Langkawi, emak pandang kami dengan tenungan yang sayu.
“Namun, kami sekeluarga reda apabila terima panggilan telefon daripada salah seorang anggota polis yang memaklumkan bahawa emak telah meninggal dunia dalam insiden ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun
(HRPB).
Sementara itu, kakak mangsa, Normah Mohd Shariff, 54, turut bersedih dengan pemergian adiknya itu yang disifatkan ringan tulang selain bertanggungjawab dalam menjaga ibu mereka, Hawa Jaseh, 84.
“Berbeza dengan trip dia yang lain, kali ini dia beria-ia telefon memesan untuk jaga emak kami di kampung. Itulah pesanan terakhir adik sebelum mengikuti ke Pulau Langkawi bersama dua rakannya.
“Emak kami (Hawa) mengetahui adik telah meninggal dunia, kami tenangkan dia untuk supaya lebih tabah dan bersabar kerana mereka sangat rapat,” katanya yang tiba dari Rembau, Negeri Sembilan bersama ahli keluarga lain.
Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, Zaiton yang dipercayai duduk bahagian hadapan maut ditempat kejadian akibat kecederaan di bahagian kepala.
Menurutnya, siasatan awal mendapati bas yang menghala ke Putrajaya berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit lalu terbabas melanggar pembahagi besi di tepi jalan sebelum merempuh belakang treler.
“Dalam kejadian itu, dua penumpang turut cedera parah. Mohd Sukairi Wan Mustapha, 39 yang berasal dari Jerantut, Pahang mengalami patah kaki kanan manakala, Mohd Taufiq Osman, 23, yang berasal Alor Setar Kedah, luka di buku lali kaki kanannya.
“Kedua-dua mereka dihantar ke HRPB untuk mendapatkan rawatan kecemasan manakala, penumpang lain dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.
Wan Sharuddin berkata, pemandu treler, K Krisnan, 47, dan pemandu bas yang berusia 40 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
0 comments:
Post a Comment