Kemasukan warga asing dari pelbagai negara sama ada secara sah atau pendatang tanpa izin (Pati) ke Cameron Highlands disebabkan permintaan terhadap tenaga kerja asing oleh pekebun tempatan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, menurut rekod terdapat 6,057 pekerja asing yang sah di Cameron Highlands tidak termasuk 4,200 pelarian Rohinya yang memegang kad pelarian UNHCR.
Menurutnya, bagaimanapun kerajaan negeri mengakui terdapat lebih ramai pekerja asing di sana mengambil kira keluasan tanah pertanian di bawah Jabatan Pertanian iaitu seluas 7,528 hektar.
“Berdasarkan keperluan, untuk satu hektar tanah pertanian (kebun sayur) memerlukan sekurang-kurang empat pekerja dan jika berdasarkan keperluan itu, terdapat kira-kira 25,883 pekerja tidak termasuk bagi mereka yang bekerja di kebun sayur yang diteroka secara haram.
“Kita anggarkan daripada jumlah itu sebahagian besar adalah pekerja asing bagaimanapun bukan dimonopoli oleh warga Bangladesh seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri di Kompleks Yayasan Pahang, dekat sini, semalam.
Adnan berkata, kerajaan mengakui berlaku kebanjiran warga asing di Cameron Highlands bagaimanapun masalah itu bukan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kerajaan mungkin boleh mengambil tindakan untuk menangkap dan menghantar semua pekerja asing ini bagaimanapun tindakan itu akan memberi kesan terhadap sektor pertanian di Cameron Highlands.
“Kita boleh menghantar mereka pulang namun adakah pekerja di kalangan warga tempatan mampu dan bersedia untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang sebelum ini dikuasai warga asing?,” soalnya.
Menurutnya beliau akui, ada beberapa isu yang boleh diambil tindakan oleh kerajaan negeri termasuk isu lesen perniagaan yang dialibabakan kepada warga asing oleh penduduk tempatan.
“Kita memandang serius isu ini dan tindakan akan diambil terhadap pemilik lesen yang didapati menjual kepada warga asing termasuk membatalkan lesen tersebut,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Adnan menegur pengamal media supaya lebih bertanggungjawab terhadap tajuk sesuatu berita yang disiarkan supaya ia tidak terlalu sensasi sehingga menimbulkan keresahan masyarakat.
Beliau bagaimanapun mengalu-alukan laporan atau pendedahan terhadap isu-isu masyarakat supaya kerajaan negeri dapat mengkaji, meneliti dan membuat penambahbaikkan jika aduan itu ada asasnya.
Ahad lalu, sebuah akhbar melaporkan mengenai kebimbangan penduduk di Cameron Highlands yang mendakwa kawasan berkenaan dibanjiri warga asing yang dipercayai bekerja di kebun yang terdapat di kawasan tanah tinggi itu.
Penduduk juga mendakwa terdapat warga asing turut berniaga di pasar malam dan pasar minggu di sekitar Cameron Highlands sehingga mengganggu pendapatan penduduk setempat.
0 comments:
Post a Comment