Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 1, 2014

KUANTAN : JPA PAHANG TAK PILIH BULU

Nazili cuba kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner berimej baharu yang diterima penguatkuasa JPJ di negeri ini semalam.


KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak akan pilih bulu dalam melaksanakan pematuhan peraturan berhubung penggunaan cermin gelap, nombor pendaftaran, lampu HID dan Strobe Light terhadap kenderaan yang berkuatkuasa 1 November ini.

Bagaimanapun penguatkuasaan larang penggunaan cermin gelap pada kenderaan yang melepasi kadar dibenarkan hanya berkuatkuasa Mei tahun depan.

Pemangku Pengarah JPJ Pahang, Nazili Kadir berkata, semua pemilik kenderaan tidak terkecuali termasuk orang kenamaan, pegawai kerajaan dan kakitangan jabatan itu sendiri melainkan atas sebab-sebab yang dibenarkan.

Menurutnya, di peringkat awal operasi penguatkuasa khas sehingga hari ini, semua kakitangan JPJ diberi arahan supaya mematuhi peraturan tersebut supaya menjadi contoh kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Pada masa yang sama, surat makluman dan peringatan turut dihantar ke semua kementerian dan jabatan kerajaan persekutuan serta negeri berhubung pematuhan peraturan tersebut.

“Tempoh yang diberikan sehingga esok (hari ini) difikirkan mencukupi untuk pemilik mengambil tindakan pembetulan dengan menukarkan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, menanggal dan menukar lampu HID serta Strobe light yang bukan dipasang pengeluar kenderaan asal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan 13 kenderaan penguatkuasa JPJ baharu di sini, semalam.

Nazili berkata, bermula 1 November ini, JPJ seluruh negara akan melancarkan operasi khas bagi mengesan pemandu dan pemilik kenderaan yang berdegil menggunakan komponen larangan itu.

“Sehingga esok( hari ini) kita hanya memberi nasihat dan penerangan kepada orang ramai dan pemandu yang menggunakan kenderaan melanggar peraturan tersebut bagaimanapun bermula I November, tindakan tegas akan diambil termasuk dikeluarkan saman,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ragu-ragu dengan spesifikasi kenderaan masing-masing terutama melibatkan cermin dan lampu ubahsuai supaya tampil ke pejabat JPJ berdekatan atau Puspakom untuk membuat pemeriksaan secara sukarela.

“Bagaimanapun kita cadangkan supaya pengguna ke Puspakom untuk membuat pemeriksaan menyeluruh dengan bayaran RM40 (harga diskaun).

“JPJ Pahang (Kuantan) menerima 130 kenderaan yang hadir secara sukarela untuk diperiksa sepanjang Oktober ini manakala jumlah keseluruhan bermula Januari sebanyak 3,135,” katanya.

Menurutnya, daripada keseluruhan pemeriksaan itu, pihaknya ada mengeluarkan notis larangan guna kenderaan dan notis arah periksa kepada kenderaan yang gagal dalam pemeriksaan.

“Operasi penguatkuasaan khas ini akan diteruskan selepas ianya dikuatkuasakan secara bersepadu di seluruh negeri.

“JPJ akan menggunakan kekuatan keanggotaan sedia ada dalam menjalankan operasi tersebut bagaimanapun fokus tidak hanya kepada penggunaan nombor pendaftaran, lampu HID dan Strobe light sahaja sebaliknya secara menyeluruh.

“Saman yang dikeluarkan bukan hukuman sebaliknya disifatkan sebagai langkah menyedarkan pengguna terhadap peraturan tersebut,” katanya.
















0 comments:

share2