Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, November 1, 2014

BENTONG : INDEKS JENAYAH MENINGKAT 64 KES

Wan Azhar (dua, kiri) memakaikan pangkat kepada anggota yang menerima kenaikan pangkat.



BENTONG - Indeks jenayah di daerah ini mencatatkan peningkatan sebanyak 64 kes menjadikan jumlah keseluruhan 474 kes bermula Januari hingga bulan ini berbanding 410 kes dicatatkan pada tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Wan Azhar Ruddin Wan Ismail berkata, antara kes paling ketara menunjukkan peningkatan ialah jenayah curi motosikal dengan peningkatan sebanyak 32 kes.

Menurutnya, kes lain turut mencatatkan peningkatan seperti berikut curi dan ragut (12), ugutan (28) dan samun meningkat sebanyak sembilan kes.

“Walaupun indeks jenayah meningkat, namun kadar penyelesaian bagi Januari hingga Oktober ini turut meningkat.

“Kita telah melebihi sasaran pencapaian di mana tahun ini 251 kes daripada 474 kes berjaya diselesaikan dengan peratusan 52.95 peratus berbanding tahun lalu dari 410 kes, 49.02 peratus bersamaan 210 kes berjaya diselesaikan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di bawah Program Bandar Selamat yang sedang diusahakan Majlis Perbandaran Bentong diharap dapat mengurangkan kadar jenayah.

Katanya, beberapa daerah di negeri lain yang telah membuat pemasangan CCTV ini kebanyakannya mencatatkan penurunan ketara.

“Sebagai contoh di Balai Polis Pulau Tikus, Pulau Pinang di mana sejak pemasangan CCTV dibuat, kadar jenayah di kawasan terbabit mencatatkan penurunan kes yang ketara malah ia semakin turun dari semasa ke semasa.

“Saya harap CCTV di daerah ini yang dijangka beroperasi Januari tahun hadapan dapat mengurangkan kadar jenayah sekali gus membantu pihak polis membuat pemantauan 24 jam di bilik kawalan yang disediakan,” katanya.

Wan Azhar ketika ditemui menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada 34 anggota polis daerah ini yang menerima kenaikan pangkat di mana 12 anggota berpangkat koperal dinaikkan ke pangkat sarjan dan 22 anggota berpangkat lans koperal dinaikkan pangkat kepada koperal.

Wan Azhar turut memberi jaminan bahawa keseluruhan daerah ini bebas daripada sebarang aktiviti judi haram dan seumpamanya.

“Saya beri jaminan tidak wujud sebarang aktiviti perjudian haram dalam daerah ini namun sekiranya ada, tindakan tegas akan diambil serta merta.

“Pemantauan ketat dan berterusan juga sentiasa dilakukan bagi memastikan daerah ini bebas kegiatan terbabit termasuk membuat pemeriksaan di premis yang berpotensi berlaku kejadian tersebut,” katanya.

Beliau turut menegaskan, pihaknya hanya diberi kuasa untuk mengambil tindakan sekiranya berlaku kegiatan judi haram, namun kuasa memberi dan menarik semula lesen kegiatan terbabit adalah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT).










0 comments:

share2