Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 25, 2014

KUALA LIPIS : WASPADA MEMANDU DI HOTSPOT

Abdul Razak (kanan) menunjukkan kereta Perodua Myvi milik Ahmad Nor Sallahuddin yang remuk teruk setelah bertembung dengan bas dua tingkat, dalam kejadian di laluan Kuala Lipis-Merapoh, awal pagi kelmarin




Kadar kemalangan di laluan Kuala Lipis-Merapoh meningkat tujuh peratus sehingga bulan ini.

Kebanyakannya dikatakan berlaku antara jam 1 pagi hingga 3 pagi iaitu waktu yang mengundang keletihan dan mengantuk bagi seseorang pemandu yang melakukan perjalanan jauh.

ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, keletihan ketika memandu dalam jarak perjalanan yang jauh terutama dari Lembah Klang ke negeri Kelantan pada dinihari (lepas waktu tengah malam) menyebabkan punca kemalangan jalan raya khususnya di laluan 'hotspot' berdekatan Bukit Tujuh dan Merapoh di daerah ini.

Menurutnya, selain kejadian ngeri semalam yang mengorbankan empat nyawa, kemalangan yang sama pernah berlaku pada 8 September tahun ini apabila sepasang suami isteri maut, manakala anak perempuan mereka parah. Kejadian malang yang sama pada 3 November baru-baru ini juga menyebabkan tiga orang maut dan seorang cedera.

"Faktor kecuaian manusia iaitu rela, suka bergegas atau obses memandu dalam keadaan mengantuk antara punca berlakunya kemalangan maut di laluan berkenaan.

"Spekulasi yang menyatakan struktur jalan raya yang berselekoh di kawasan itu antara punca berlakunya kemalangan tidak benar kerana laluan itu sudah dinaik taraf dan dilengkapi lampu jalan dan papan tanda keselamatan jalan raya," katanya di sini semalam.

Abdul Razak berkata, polis juga menolak tanggapan sesetengah pihak yang cuba mensensasikan kemalangan maut di laluan Kuala Lipis-Merapoh berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab mencurahkan minyak di atas jalan raya berkenaan.

"Ini merupakan spekulasi dan cerita pihak tertentu yang nyata tidak berasas sehingga ini pihak polis tidak pernah terima laporan mengenai insiden curahan minyak di atas jalan. Lagipun kereta peronda polis kerap membuat rondaan di laluan berkenaan," katanya.

Sehubungan itu, Abdul Razak meminta pemandu agar berhati-hati di laluan berkenaan khususnya pada waktu dinihari kerana kawasan berkenaan termasuk laluan berdekatan Bukit Tujuh berkabus yang menyukarkan pandangan jarak jauh.




0 comments:

share2