Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, November 25, 2014

KUANTAN : PENIAGA LARI ELAK TINDAKAN

Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Pahang merampas barang perhiasan selepas peniaganya
melarikan diri kerana gagal letak tanda harga.



Seorang peniaga barang perhiasan bertindak melarikan selepas gagal memberikan penjelasan munasabah kepada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang berhubung kegagalannya meletakkan tanda harga pada barang yang dijual dalam pemeriksaan di Pasar Besar Kuantan di sini, semalam.

Lelaki dipercayai warga asing berusia dalam lingkungan 40-an dikesan gagal mematuhi peraturan ditetapkan itu ketika pemeriksaan `Ops Bestari KPDNKK’ melibatkan semua Pengarah KPDNKK seluruh negeri.

Pengarah KPDNKK Pahang, Sharuddin Jali berkata, susulan tindakan peniaga terbabit, pihaknya merampas barang perhiasan itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

“Berdasarkan akta berkenaan, peniaga atau syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sekiranya disabitkan kesalahan.

”Bagi individu yang melakukan kesalahan pertama, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sidang media selepas mengetuai operasi itu, semalam.

Sharuddin berkata, bagi syarikat pula, denda sehingga RM500,000, manakala untuk kesalahan seterusnya denda sehingga RM1 juta.

Menurutnya, KPDNKK Pahang berpuas hati dengan komitmen keseluruhan peniaga yang mempamerkan tanda harga serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Operasi hari ini (semalam) lebih kepada usaha KPDNKK memberi penerangan, panduan dan teguran supaya peniaga meletakkan tanda harga bagi memastikan pengguna mendapat maklumat tepat berhubung harga yang dijual.

“Jika peniaga didapati ingkar, kita akan mengambil tindakan dengan mengenakan kompaun atau menghadapkan mereka ke mahkamah mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, KPDNKK Pahang berjaya melakukan rampasan dengan nilai lebih RM168,000 hasil pemeriksaan terhadap 13,000 premis dan peniaga dalam Ops Harga barang yang dijalankan sejak Januari hingga semalam, di seluruh Pahang

“Daripada pemeriksaan yang kita jalankan itu, 403 daripadanya diambil tindakan kerana gagal mematuhi peraturan harga yang ditetapkan manakala 292 kutipan kompaun membabitkan jumlah lebih RM74,000 juga berjaya dilakukan,” katanya.

Sharuddin berkata, KPDNKK Pahang juga telah bersedia bagi melakukan pemantau harga barang ketika pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“Sekarang kita sedang mengumpul harga-harga barangan dan perkhidmatan sedia ada sebelum pelaksanaan itu dilakukan,” katanya.







0 comments:

share2