Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, November 19, 2014

KEMENTERIAN PERTANIAN SASAR 1 RIBU PETANI MUDA DILAHIR TIAP TAHUN


KUALA LUMPUR, 18 Nov - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasarkan penglibatan 1,000 petani dan peladang muda di bawah usia 40 tahun dalam industri itu setiap tahun.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sudah tiba masanya golongan itu mengubah persepsi terhadap industri pertanian dan peladangan yang dikatakan tidak menyumbang pendapatan yang tinggi.

"Golongan muda selalu menganggap industri pertanian sebagai pekerjaan orang lama dan mundur. Mereka perlu mengubah persepsi tersebut kerana sektor ini mampu menjamin masa depan," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam program 'Ruang Bicara' terbitan Bernama TV, malam ini.

Beliau berkata statistik penglibatan golongan muda ketika ini dianggarkan kira-kira 15 peratus daripada 850,000 usahawan berdaftar di bawah kementerian.

Terdahulu, dalam temu bual itu, Ismail Sabri berkata kerajaan telah menyediakan beberapa insentif serta merangka pelbagai program untuk memastikan usahawan muda menyertai bidang tersebut.

Mengulas lanjut, katanya kementerian juga telah menubuhkan Unit Agropreneur Muda (UAM) bagi memberi laluan kepada golongan itu mendapatkan pinjaman untuk membiayai projek pertanian mereka.

"Pakej pinjaman dan latihan dari segi pengurusan, pengurusan kewangan, pemasaran turut diberikan menerusi unit tersebut. Melalui usaha ini kita sasarkan usahawan muda mampu memperoleh pendapatan sekitar RM5,000 sebulan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) yang akan diadakan bermula Khamis hingga 30 Nov ini turut menyediakan platform bagi golongan belia menceburi bidang pertanian dan peladangan menerusi pameran 'Belia Pertanian'.




0 comments:

share2