Shah Alam - Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendengaran rayuan itu pada mulanya ditetapkan dua hari mulai 28 Oktober, dilanjutkan sehingga enam hari selepas kedua-dua pihak membentangkan hujahan dengan panjang lebar.
Jika Anwar kalah dalam rayuannya, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu boleh hilang kelayakan sebagai seorang anggota parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota parlimen boleh dilucutkan jika dijatuhkan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.
Ini adalah kes liwat kedua terhadap Anwar.
Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah kerana meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada tahun 1994 dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Anwar menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara enam tahun ke atasnya kerana kesalahan rasuah.
Mahkamah Tinggi telah menyabitkan Anwar atas empat kesalahan rasuah pada 4 April, 1999.
Bagaimanapun, selepas hampir enam tahun dalam penjara, Anwar dibebaskan pada 2 September 2004, setelah Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara, mengetepikan sabitan dan hukuman ke atas Anwar kerana meliwat Azizan menerusi keputusan majoriti 2-1.
Anwar dibebaskan apabila Abdul Hamid dan dua lagi hakim Datin Paduka Rahmah Hussain dan Tengku Datuk Baharuddin Shah Tengku Mahmud bercanggah dari segi tarikh kejadian liwat, walaupun umumnya, mereka bersetuju berlaku aktiviti liwat antara Anwar, Azizan dan adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja.
0 comments:
Post a Comment