Penafian Khalid Ibrahim tentang perletakkan jawatannya selaku ADUN Pelabuhan Klang dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak rupanya menambahkan lagi “selera” pihak-pihak tertentu untuk melipat-gandakan usaha agar Khalid berada di dalam keadaan tertekan, dan seterusnya kembali memikirkan kemungkinan meletakkan jawatan.
Pada 1 Oktober 2014 yang lalu, Faekah Husin telah mempersoalkan tindakan Bendahari Negeri yang mengarahkan agar SMUE untuk Bandar Tun Razak dan Pelabuhan Klang dibekukan, seolah-olah tidak mengenang jasa dan kerja keras mantan Menteri Besar itu dalam memperkasakan skim berkenaan. Menurut Faekah, beliau percaya bahawa tindakan ini adalah atas arahan Menteri Besar Selangor yang baru, Azmin Ali.
Terbaru, Faekah sekali lagi mengeluarkan kenyataan memohon agar PKR berhenti dari terus mengganggu Khalid Ibrahim. Apa hebatnya Khalid Ibrahim sehinggakan kerap diganggu oleh PKR, sedangkan dia telah berjaya disingkirkan oleh Anwar Ibrahim?
Seperti yang penulis pernah jangkakan sebelum ini, politik dendam kesumat amalan Pakatan amat tebal di hati sanubari pimpinan negeri. Faekah seharusnya mengerti untuk tidak lagi mengharapkan pujian setinggi langit seperti mana yang pernah dihidangkan ke halwa telinga rakyat sewaktu siri ceramah Pakatan sebelum ini.
Sebelum ini pun, mereka hanya bermuka-muka demi Selangor, walhal rentetan peristiwa perbalahan di antara kem Azmin dan kem Khalid bukanlah rahsia. Jadi, apa yang Faekah hairan pula? Bukankah Faekah sendiri tergolong dalam kategori penulis karya agung di media sosial, iaitu “hikayat alif zai mim ya nun” di laman Twitter?
Kini, Faekah harus belajar menerima hakikat, bahawa Khalid bukan lagi sebahagian dari anggota Pakatan Rakyat dan tidak berhak untuk mendapat SMUE atau apa jua skim yang dikelolakan oleh kerajaan negeri. Itu hak mutlak Menteri Besar Selangor, seperti mana hak yang dimiliki oleh Khalid dalam pemecatan 22 kakitangan PKNS sewaktu bergelar Menteri Besar Selangor.
Faekah perlu faham, bahawa kini Khalid adalah musuh nombor satu di dalam sidang dewan undangan negeri. Kehadirannya di sidang DUN dikhuatiri akan menghadkan penguasaan dan manipulasi fakta oleh pentadbiran baru.
Atas status mantan Menteri Besar Selangor, Khalid tentunya faham dan maklum tentang dasar-dasar yang telah diputuskan di sidang DUN. Lebih penting, Khalid mampu untuk mempertahankan diri serta keputusan-keputusannya ketika menjawat jawatan Menteri Besar.
Ini yang tidak digemari oleh Pakatan Rakyat, kerana selalunya mereka lebih gemar “membelasah” individu yang tiada di dalam dewan.
Penulis menunggu dengan penuh minat sidang DUN Selangor yang dijangka akan berlangsung dalam beberapa minggu lagi. Teringin dengar jawapan dari Khalid sekiranya ada soalan berhubung dalil yang mengandungi salah laku dirinya sewaktu bergelar Menteri Besar Selangor, yang sebelum ini dikatakan akan dikeluarkan oleh PKR.
Mungkin nanti Morib dan Hulu Kelang boleh mulakan soalan berpandukan dalil-dalil tersebut?
0 comments:
Post a Comment