14 Nov. - Seorang lelaki yang pernah dikenakan hukuman buang daerah didakwa antara dalang utama yang rakus merosakkan alam sekitar di sini melalui tindakan meneroka tanah secara haram bagi aktiviti pertanian.
Sumber mendakwa, walaupun sudah meneroka beratus-ratus hektar dan perbuatannya diketahui umum namun tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa ke atas individu yang dianggap ‘tauke besar’ itu berikutan hubungan rapat dengan beberapa pemimpin politik.
“Malah, lelaki tersebut juga dikatakan turut memberi habuan kepada segelintir anggota agensi penguat kuasa bagi memastikan kegiatan haramnya tidak diganggu,” dakwanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Baru-baru ini pada 9 November lalu, Mingguan Malaysia mendedahkan amalan rasuah yang berlaku dalam kalangan segelintir pegawai kerajaan negeri bagi melindungi kegiatan penerokaan tanah secara haram dan mereka didakwa dibayar RM10,000 untuk setiap 0.4 hektar tanah yang diteroka.
Sumber itu mendakwa, aktiviti pertanian yang dijalankan oleh lelaki berkenaan ialah di salah satu kawasan penanaman sayur terbesar di daerah ini.
“Individu berkenaan bukanlah ahli politik namun bijak menutup kegiatannya menerusi hubungan rapat dengan pemimpin politik sehingga di peringkat negeri berikutan itu tanah-tanah yang dicerobohnya mudah ‘dihalalkan’ walaupun menyalahi peraturan dan undang-undang,” dakwanya.
Sumber tersebut turut mendedahkan bagaimana modus operandi penerokaan tanah secara haram di sini sama seperti mana sesebuah kumpulan kongsi gelap menguasai sesuatu kawasan.
“Mereka sudah ‘membahagi-bahagikan’ had kawasan yang dikuasai. Sebagai contoh, ‘tauke besar’ di Brinchang tidak boleh meneroka tanah ke kawasan lain seperti di Bukit Raja atau Tanah Rata yang dikuasai oleh individu lain,” dakwanya.
Ujar sumber itu, peraturan itu dipatuhi sebagai menghormati persefahaman sesama mereka.
“Kegiatan tauke besar ini menambahkan lagi jumlah tanah haram yang diteroka selain orang perseorangan yang turut berbuat demikian,” katanya.
0 comments:
Post a Comment