TANAH MERAH - Kewujudan aplikasi mesej WhatsApp merealisasikan impian bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional Pertanian (SMVP) Chenor, Pahang, bertemu semula selepas lebih 30 tahun terpisah.
Pada majlis berlangsung di Taman Kota Harmoni, dekat sini, kelmarin, seramai 39 bekas pelajar tingkatan empat dan lima sekolah itu bagi sesi 1981-1982 hadir untuk bertemu bekas rakan sekelas.
Setiausaha Jawatankuasa Alumni SMVP Sesi 81/82, Mustafa Kamal Othman berkata, sejak adanya aplikasi WhatsApp, mereka mula berhubung antara satu sama lain sehingga membolehkan pertemuan itu diadakan.
“Saya ada juga buka laman Facebook untuk bekas pelajar SMVP 81/82 tetapi kurang sambutan dan tidak dapat berhubung dengan ramai kawan sekelas, mungkin sebab tidak ramai antara kami guna Facebook.
“Tetapi sejak ada WhatsApp, kami mula berhubung dengan dua tiga orang dan daripada kenal atas kenal, kami dapat adakan pertemuan semula ini buat pertama kali sejak terpisah 32 tahun lalu,” katanya, kelmarin.
Menurut Mustafa Kamal, suasana majlis yang turut dihadiri rakan sekelas dari Terengganu dan Pahang itu diselubungi perasaan gembira dan terharu hingga ada antara mereka menitiskan air mata.
“Sesiapa pun akan ada satu masa rasa nak jumpa dengan kawan-kawan lama dan bagi kami, inilah saat impian jadi nyata apabila dapat bertemu semula buat pertama kali.
“Terima kasih kepada tiga bekas rakan sekelas kami yang juga ahli korporat kerana menaja makan minum dan tempat tinggal untuk majlis perjumpaan ini,” katanya.
Dia yang lebih dikenali Kamal Bunut Susu memberitahu, pertemuan semula itu turut membawa kepada persetujuan untuk menubuhkan jawatan kuasa alumni bekas pelajar terbabit.
“Ada seramai 120 orang yang belajar bersama pada sesi tersebut tetapi hanya 39 orang yang hadir majlis ini, jadi kami nak cari rakan sekelas yang lain untuk merancang program lebih besar.
“Selain Kelantan, Terengganu dan Pahang, kami juga ada rakan sekelas dari Kuala Lumpur, Perak dan Kedah tetapi setakat ini, kami masih tidak dapat mengesan mereka,” katanya.
Justeru, Mustafa Kamal meminta bekas pelajar SMVP sesi tersebut yang tidak hadir pada majlis itu menghubunginya di 013-921 2180 bagi pengumpulan data untuk penubuhan alumni berkenaan.
0 comments:
Post a Comment