Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, November 24, 2014

BERA: ELAK ISI MAKANAN RINGAN DALAM HAMPER


Mat Tahir (kiri) mengiringi Norol Azali semasa melawat pameran yang disediakan sepanjang Program Sihat Komuniti Warga Emas ini dijalankan.


Bera – Pemberian hamper sebagai cenderahati atau cabutan bertuah dalam bentuk makanan kurang sihat atau jajan pada setiap aktiviti atau program wajar dielakkan sebaliknya orang ramai disaran meletakkan makanan lebih sihat atau barang yang bermanfaat kepada penerima.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, pemilihan makanan ringan dengan kandungan perisa dan pewarna tiruan ini akan menjejaskan kesihatan individu sekiranya diambil secara berterusan khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Menurutnya, makanan ringan mempunyai pembungkusan menarik dan rasa sedap yang mampu menarik perhatian kanak-kanak sehingga menyebabkan mereka sukar mengawal kehendak untuk menikmati makanan tersebut hampir setiap hari.

“Dalam hal ini, ibu bapa perlu ambil berat dengan mengetahui kesan pengambilan makanan ringan secara berlebihan selain mengawal nafsu anak-anak untuk terus menikmati makanan ringan.

“Justeru, pemberian hamper dalam bentuk makanan kurang sihat ini perlu dielakkan dan pihak penganjur atau urus setia perlu saling mengingati antara satu sama lain mengenai perkara ini,” katanya pada Program Sihat Komuniti Warga Emas di Felda Bukit Mendi, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mat Tahir Omar.

Pada program itu, warga emas dan penduduk di sekitar Felda Bukit Mendi, Bukit Puchong dan Sungai Kemahal turut menyertai pelbagai aktiviti yang diadakan seperti pemeriksaan kesihatan dan ceramah mengenai kesihatan.

0 comments:

share2