Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 21, 2014

TERNAKAN IKAN STURGEON: FAKTA DISELEWENG UNTUK HASUT PENDUDUK

sturgeon1



Melangkah ke hadapan, merupakan satu cabaran besar yang dihadapi oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Antaranya cabarannya adalah bagaimana untuk mengekalkan pertumbuhan dan juga berubah menjadi sebuah entiti korporat yang lebih berdaya saing di peringkat global dan juga terus memainkan peranannya dalam meningkatkan lagi kebajikan sosio-ekonomi masyarakat peneroka dan pemegang sahamnya.

Pendekatan ini berkembang ke arah mempelbagaikan perniagaan dan berusaha untuk memberikan peluang kepada masyarakat khususnya komuniti Felda itu sendiri, yang semakin berkembang secara keseluruhan.

Salah satu bidang perniagaan baharu yang diperkenalkan untuk warga Felda adalah Ternakan Ikan Sturgeon untuk menghasil “caviar“, sejenis makanan termahal di dunia yang boleh mencecah ke harga RM15,000 sekilogram.


Ternakan Ikan Sturgeon ini merupakan satu projek perintis bagi Projek Sentuhan Kasih Felda yang bakal memberikan manfaat kepada warga Felda.

Projek Ternakan Ikan Sturgeon ini telah dirancang oleh Felda untuk dilaksanakan dalam semua Projek Sentuhan Kasih Felda di seluruh negara agar perojek ternakan ini dapat menjana ekonomi tambahan kepada warga Projek Sentuhan Kasih Felda.

Ini adalah salah satu langkah alternatif Felda dalam mencari sumber ekonomi baru selain dari menanam kelapa sawit dan getah.

Masyarakat Felda menyokong penuh usaha inovatif Felda ini untuk mencari sumber ekonomi baru.

Kini, Felda juga bercadang untuk membina sebuah Kompleks Caviar (Caviar Park) yang bertujuan untuk menternak ikan sturgeon (Sturgeon Akuakultur) bagi pernghasilan caviar di Kuala Tahan, Pahang.

Bagi projek Sturgeon Akuakultur di Kuala Tahan, ia adalah salah satu daripada pelbagai projek berterusan yang FELDA terokai kini untuk mencapai transformasi FELDA ke arah “Economy Powerhouse” pada tahun 2020.

Dengan adanya Kompleks Caviar ini, pelbagai peluang untuk warga penduduk Kuala Tahan akan diperolehi antaranya lebih banyak peluang pekerjaan, kerancakan sektor pelancongan sekaligus merancakkan ekonomi penduduk setempat dan lain-lain peluang lagi.

Projek ternakan sturgeon ini merupakan projek usahasama Felda dan sebuah syarikat Korea iaitu MMC Hassed Co. Ltd. bagi menghasilkan ekonomi baru bagi generasi baharu Felda dan kampung tradisional dengan pengeluaran caviar, manakala Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) bertindak sebagai rakan kerjasama strategik FELDA dalam projek ini.

Namun sayang, usaha yang baik ini telah mendapat tentangan daripada pihak-pihak tertentu yang berkepentingan politik lantas menghasut beberapa penduduk dengan melakukan penyelewengan fakta.

Projek Sturgeon Kuala Tahan adalah projek yang disokong penuh oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang.

Malah, Kerajaan Negeri Pahang telah meluluskan 50 ekar tanah di Kuala Tahan bagi tujuan projek tersebut.

Hanya 30 ekar sahaja yang akan digunakan untuk tapak Kompleks Caviar di Sungai Tabong.

Jabatan Hutan Pahang juga telah memberikan kebenaran kepada pihak kontraktor dari Korea yang mengendalikan kawasan tapak untuk menebang beberapa jenis pokok-pokok hutan tertentu dan ianya tidak dilakukan secara semberono.

Tapak Kompleks Caviar ini tidak terletak dalam kawasan Taman Negara tetapi ianya terletak di seberang Sungai Tembeling dalam kategori kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Dengan itu, dakwaan bahawa Projek Ternakan Ikan Sturgeon ini menjejaskan alam sekitar dan merosakkan Taman Negara adalah tidak benar sama sekali.

Menjadi prosedur biasa bagi projek yang dibawah 50 ekar, tidak perlu menyediakan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Oleh kerana tapak projek ini dalam kawasan kategori KSAS, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengarahkan Felda untuk mengemukakan laporan EIA pada Julai 2014.

Ianya tidak menjadi masalah kepada Felda kerana Felda menjalankan projek ini mengikut undang-undang yang telah ditetapkan dan akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berwajib dalam segala hal yang berkaitan dengan projek ini agar perlaksanaannya lebih lancar dan memuaskan semua pihak.

Malah, bagi menjayakan projek ini, Felda telah dan akan mematuhi semua peraturan serta garis panduan yang ditetapkan oleh pihak-pihak berwajib.


Foto: Ahmed Al Dhaheri, pengasas bersama dan Pengarah Urusan di Emirates Aquatech, berdiri dengan tangki yang penuh dengan anak-anak ikan sturgeon yang dibiakkan di UAE.

FELDA sedar bahawa terdapat larangan mengimport spesies sturgeon di bawah Akta Perikanan 1985, dengan merujuk kepada undang-undang, Perikanan (Larangan import ikan dan lain-lain) Peraturan 1990, Pada Perikanan (Larangan Import dan lain-lain ikan) Peraturan 1990 (Pindaan) 2011, jadual dalam peraturan yang telah dipinda juga merangkumi Acipenser atau juga dikenali sebagai Sturgeon termasuk dalam senarai.

Dalam peraturan ini, ia disebut bahawa “Tiada seorang pun boleh mengimport ke dalam, menjual, menternak atau menyimpan ikan hidup dari genus yang dinyatakan dalam Jadual kepada Peraturan-Peraturan ini melainkan dengan kebenaran bertulis Ketua Pengarah”.

Jabatan Perikanan telah menjalankan Analisis Risiko Import (API) bagi spesies eksotik yang datang ke negara ini dan dalam kes ini, FELDA telah diberikan kebenaran bertulis dengan syarat oleh Ketua Pengarah Perikanan mengikut prosedur standard pada 12 Jun 2014.

Sekali lagi, tuduhan bahawa Felda tidak mengikut undang-undang dan garis panduan ditetapkan hanyalah fitnah semata-mata.

Ada komen melucukan dari beberapa pihak bahawa ikan ini amat bahaya jika terlepas ke habitat semulajadi iaitu air sungai kerana ianya bersifat “predator” sampai ada yang mengatakan bahawa ikan kelah di sungai juga akan diserang oleh sturgeon ini.

Walaupun ikan sturgeon adalah ikan purba berumur 150 tahun, sezaman dengan dinosour yang merupakan living fossil yang masih hidup sehingga hari ini, namun ianya bukanlah bersifat “predator” seperti didakwa pihak-pihak yang berakal dangkal.

Setakat hari ini, belum lagi saya mendengar ikan sturgeon ini bersifat karnivor/pemangsa dan belum lagi saya dengar ada mana-mana hidupan atau manusia yang mati diserang sturgeon.

Ikan sturgeon ini bukan sahaja diternak di Korea, malah monopoli industri caviar adalah Rusia.

Abu Dhabi, UAE, sebuah negara Islam, juga mempunyai ladang sturgeon yang agak besar dan berjaya menghasilkan 35 tan caviar dalam setahun.

Belum pernah dalam mana-mana negara yang saya sebutkan di atas, berlaku kejadian pemilik atau pekerja kolam ternakan sturgeon ini mati “diserang” ikan ternakan mereka itu.

Makanan terbaik bagi ikan sturgeon adalah spirulina sejenis tumbuhan air tawar, dan bukannya daging manusia atau daging haiwan!

Jika berkesempatan, saya ingin bertanya kepada mereka yang mendakwa ikan sturgeon ini “predator“, tahukah untuk membezakan ikan todak, piranha dan sturgeon?

Saya sangat berharap agar mereka yang mendakwa sturgeon ini “predator” untuk belajar lebih lagi dengan “Uncle Google” memandangkan masing-masing adalah masyarakat yang celik IT dan malas untuk mencari fakta daripada pakar-pakar bertauliah!

Dengan publisiti media oleh pihak tertentu terutama dengan agenda politik pembangkang yang menentang projek ini sepertimana penentangan projek Lynas di Gebeng, semestinya projek ini juga akan melalui proses pemantauan yang ketat oleh JAS, Jabatan Perikanan dan juga Jabatan Hutan Pahang.

Pemantauan ketat ini bukan untuk menyukarkan proses perlaksanaan projek tetapi untuk membuktikan bahawa segala dakwaan adalah tidak benar dan fitnah.

Adakala saya terfikir, kenapa perkara yang baik yang diilhamkan oleh orang Melayu sendiri seperti Lynas dan Ternakan Sturgeon ditentang oleh penyokong politik pro-pembangkang.

Ironinya, kedua-duanya terletak dalam negeri Pahang dan sedikit kemusykilan terlintas dalam fikiran saya.

Apakah pada pandangan “murni” pembangkang, rakyat Pahang tidak layak untuk menerima sebarang pembangunan yang menguntungkan rakyat?

Pelbagai tohmohan dilemparkan kepada Lynas sebelum ini, projek tersebut tetap berjalan dan sampai hari ini, belum lagi ada yang mati kerana Lynas.

Kini, giliran Projek Ternakan Ikan Sturgeon pula diserang oleh pihak tertentu bagi memuaskan nafsu politik mereka.

Banyak lagi yang ingin saya tulis lagi berkaitan isu ternakan ikan sturgeon ini diatas kedangkalan akal beberapa pihak yang seolah kehilangan punca dan belum berhubung sel-sel otaknya.

InsyaAllah akan lebih banyak info akan saya tuliskan dalam rencana akan datang berkaitan manfaat ternakan ikan sturgeon.





0 comments:

share2