ROMPIN – Seorang lelaki warga emas Orang Asli ditemui oleh anak lelakinya dalam keadaan sudah tidak bernyawa dipercayai kerana menjerut dirinya sendiri di Perkampungan Orang Asli Batu 8, di sini, sekitar jam 7.30 pagi Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya berkata, kejadian tersebut disedari oleh anaknya yang bangun tidur pada pagi itu dan melihat ayahnya dalam keadaan tergantung di ruang tamu.
“Warga emas yang berusia 63 tahun itu difahamkan menghidap penyakit mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Kuantan dan Rompin.
“Bagaimanapun, ketika pihak polis tiba di rumahnya di Perkampungan Orang Asli Batu 8 pada pagi itu, mayat warga emas tersebut sudah diturunkan oleh ahli keluarganya, manakala tali yang digunakan untuk menjerut dirinya itu masih terikat pada kayu palang bumbung,” katanya.
Johari berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, pada malam kejadian warga emas tersebut dikatakan tidak tidur dan bercakap seorang diri di ruang tamu.
“Mayat dihantar ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan keputusannya menunjukkan kejadian tersebut tiada unsur jenayah,” katanya.
Sementara itu, wartawan Sinar Harian cuba mendapatkan ahli keluarga warga emas berkenaan, namun mereka enggan ditemu bual.
0 comments:
Post a Comment