Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 21, 2014

PIALA MALAYSIA: MUKHRIZ KECEWA SIKAP ULAT TIKET


Mukhriz Tun Dr Mahathir


Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kecewa dengan sikap ulat tiket yang menjual tiket palsu menyebabkan penyokong Hijau Kuning tidak dapat menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Kedah dan Pahang di Stadium Darul Aman.

"Ada beberapa penyokong mengadu, mereka datang dari jauh tetapi tersilap beli tiket daripada orang yang tidak sepatutnya menjual tiket. Ada (ulat) yang jual tiket warna kuning tetapi kita tidak ada tiket berwarna kuning.

"Jadi pada masa akan datang, kena ada sistem lebih berkesan dalam menghalang ulat tiket menjual tiket yang sebenarnya tidak wujud, mereka dapat untung atas angin. Pesanan saya, hati-hati beli tiket, kena pastikan tiket yang sah sahaja untuk masuk ke stadium," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Deepavali kepada 700 penerima di Seri Mentaloon, di Alor Setar semalam.

Semalam, difahamkan lebih 1,000 penyokong pasukan Hijau Kuning terpaksa pulang hampa apabila gagal mendapatkan tiket apabila ia habis terjual dalam tempoh kurang dua jam.

Difahamkan, empat kaunter tiket di pekarangan stadium itu dibuka pada 9.45 pagi dan semua 27,000 keping tiket termasuk 900 tiket dikhaskan untuk penyokong Pahang habis dijual kira-kira 11.15 pagi.

Sementara itu, Mukhriz melahirkan penghargaan kepada penyokong bola sepak Kedah yang sentiasa memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Pada aksi separuh akhir pertama semalam, Kedah menumpaskan Pahang 3-1. Perlawanan separuh akhir kedua akan berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat ini (24 Oktober).

0 comments:

share2