Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 21, 2014

PIALA MALAYSIA: FELDA MENANG TIPIS ATASI JDT 4-3



Selayang: Skuad FELDA United FC mencatat kemenangan tipis apabila berjaya menewaskan Johor Darul Ta'zim 4-3 dalam satu saingan menarik pada perlawanan separuh akhir pertama, Piala Malaysia di Stadium Selayang, malam tadi.

Perlawanan di atas padang basah dan licin gara-gara hujan lebat sebelum perlawanan menjejaskan rentak permainan kedua-dua pasukan yang mendapati sukar untuk bergerak atau pun mengawal bola dengan baik.

Namun, penyokong kedua-dua pasukan harus terhibur dengan ledakan tujuh gol dalam perlawanan ini, termasuk lima pada babak kedua.

Kedua-dua pasukan ini akan bertembung dalam perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Larkin, Sabtu ini untuk menentukan tiket ke final pada 1 November ini.

Apa pun dalam situasi padang yang licin, nasib memihak tuan rumah yang membuka tirai jaringan menerusi penyerang import dari Liberia, Edward Junior Wilson yang membuat rembatan deras dari luar kotak penalti seawal minit ketujuh perlawanan.

Barisan bergelar 'The Fighters' pimpinan Irfan Bakti Abu Salim terus mengasak ke arah kubu pelawat dan keringat itu memberi hasil apabila mendapat gol kedua sumbangan Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-42.

Selepas rehat, JDT yang bergelar 'Harimau Selatan' memberi persembahan lebih bertenaga dan usaha itu melihat mereka berjaya mengurangkan defisit jaringan menerusi penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-52.

Selang empat minit kemudian, FELDA mengundang masalah apabila pemain pertahanan mereka, Mohd Nasriq Baharom dilayangkan kad merah oleh oleh pengadil, Samsudin Ibrahim selepas menerima kad kuning kedua.

Berbekal 10 pemain, tuan rumah tidak menunjukkan tanda bimbang dan terus berusaha untuk memperoleh gol ketiga menerusi Makeche Ndumba pada minit ke-60.

Apa pun, pemain gantian JDT, Luciano Figueroa menjaringkan gol kedua untuk pasukan pelawat pada minit ke-80 sebelum dia membuka laluan kepada Pereyra yang tampil menyamaka kedudukan 3-3 pada minit ke-88.

FELDA jelas enggan mengalah dan Makeche memastikan kemenangan memihak tuan rumah dengan gol kemenangan pada minit terakhir permainan.

0 comments:

share2