Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, October 28, 2014

PENIAGA BISKUT RAYA DITIPU 'DATUK'


Ramlah menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya.


Jitra - Seorang peniaga biskut raya mengalami kerugian RM55,509 apabila ditipu seorang ahli perniagaan yang dikatakan menyamar sebagai datuk berusia 36 tahun sejak Julai lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ramlah, 41, berkata, ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya sebagai Datuk Nizam itu gagal dihubungi selepas memborong biskut raya daripadanya untuk dijadikan sumbangan kepada anak-anak yatim dan orang miskin.

Menurutnya, dia mengenali lelaki itu melalui seorang pelanggannya bernama Siti yang pernah berurusan membeli biskut dengannya sebanyak tiga kali.

"Siti memberitahu yang Datuk Nizam mahu borong biskut raya dengan jumlah banyak.

"Selepas itu saya berurusan sendiri dengan Datuk Nizam dan meminta saya menghantar biskut yang dibelinya itu di kediamannya di Sungai Petani pada 10 Julai lalu," katanya kepada Sinar Harian.

Ramlah berkata, pada hari pertama dia menghantar 19 karton biskut pesanan ahli perniagaan itu tetapi tidak dijelaskan bayaran.

"Dia minta untuk bayar kemudian sebab ada lagi pesanan biskut yang perlu saya hantar.

"Jadi pada 12 Julai, saya hantar lagi 60 karton biskut raya di rumahnya.

"Dia bayar sebanyak RM2,500 tunai dan memberi sekeping cek bernilai RM18,356. Apabila saya mahu tukarkan cek tersebut kepada tunai, pihak bank maklumkan cek tersebut disekat," katanya.

Walau bagaimanapun katanya, dia masih lagi menghantar tempahan biskut raya kepada lelaki berkenaan yang berjanji akan menjelaskan bayaran dan menyatakan cek diberi sebelum ini ada masalah.

"Pada 13 dan 14 Julai, saya hantar 34 karton biskut raya dan pada 15 Julai saya hantar lagi 38 karton. Manakala pada 16 Julai, saya hantar 25 karton sebelum kali terakhir pada hari raya ketiga iaitu 22 Julai lalu.

"Waktu itu saya mula berasa pelik tetapi termakan kata-kata Siti yang meyakinkan Datuk Nizam akan bayar semua harga biskut tersebut," katanya.

Katanya, sehingga hari ini dia tidak menerima hasil jualan biskut itu, malah menerima surat daripada firma guaman yang mewakili ahli perniagaan tersebut.

"Surat tersebut menjelaskan Datuk Nizam memerlukan masa sehingga 15 September lalu untuk menjelaskan hutang itu dan saya tidak boleh mengambil sebarang tindakan mengganggu di kediamannya.

"Waktu itu Datuk Nizam dan Siti sudah gagal dihubungi. Saya cuba ke pejabat syarikat milik lelaki itu tetapi dimaklumkan sudah berpindah dan turut mendapat maklumat yang sudah ramai menjadi mangsa tipu ahli perniagaan tersebut," katanya.

Susulan kejadian itu, Ramlah membuat laporan di Balai Polis Jitra dan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap individu tersebut dalam masa terdekat.

0 comments:

share2