Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, October 22, 2014

PENDUDUK MASIH TIDAK DIBENARKAN PULANG


Bukit Beruntung - Lebih 500 penduduk yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bukit Raya, di sini, masih tidak dibenarkan pulang ke kediaman mereka sehingga disahkan selamat diduduki oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, laporan terkini yang diterima dari JKR menunjukkan pergerakan tanah masih berlaku pada tahap minimum.

Beliau membayangkan penduduk terbabit dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing di blok K dan L dalam masa tiga hingga tujuh hari lagi bergantung pada keadaan pergerakan tanah.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian di sini semalam.

Seramai 158 keluarga membabitkan lebih 500 penduduk yang menetap di dua blok berkenaan terlibat dalam insiden kira-kira 10 pagi kelmarin.

Kesemua mereka kini ditempatkan di tiga pusat penempatan iaitu Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 2, Sekolah Menengah Taman Bunga Raya 1 dan Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1.

Apartment Teratai mempunyai 12 blok dan terdapat lima tingkat setiap blok.

Hanya dua blok terjejas akibat tanah runtuh itu.

Sejumlah 10 blok lagi terletak jauh dari kawasan kejadian.

Azmin berkata, beliau difahamkan pihak JKR akan membawa konkrit untuk membina benteng bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang pada masa depan.

"Ini kali kedua kejadian seperti ini berlaku, kali pertama pada 2009. "Dan benteng telah dibina pada 2009, namun kejadian itu masih berlaku akibat cuaca yang tidak menentu," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri bersedia memperuntukkan sejumlah RM500,000 bagi kos awal membaik pulih kawasan tanah runtuh itu.

Pada lawatannya ke pusat pemindahan, Azmin turut menyerahkan sumbangan wang tunai berjumlah RM300 dari Tabung Bencana Alam Pejabat Daerah Hulu Selangor kepada setiap keluarga mangsa.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Persekutuan, Datuk Seri Noh Omar menyampaikan sumbangan sebanyak RM500 setiap keluarga mangsa.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, P.Kamalanathan meminta anggota penguatkuasa membantu pelajar tingkatan 5 pulang ke kediaman masing-masing untuk mengambil buku bagi memudahkan mereka mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia awal bulan depan.

"Semasa kejadian kelmarin, saya tidak sempat untuk mengemas kelengkapan belajar dan terus ke tempat penempatan sementara.

"Jadi saya berterima kasih kepada semua anggota penguatkuasa dan penyelamat yang akan memantau pergerakan kami ketika mengambil barang kelengkapan nanti," kata pelajar Mohamad Azhar Zahrin, 17.

0 comments:

share2