Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, October 24, 2014

PEGAWAI KANAN POLIS DITANGKAP TERIMA RASUAH PEMBALAK HARAM


Pegawai kanan polis ditangkap kerana terima rasuah pembalak haram



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan polis kerana menerima rasuah berjumlah RM16,000 daripada pembalak haram di Sarawak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, ‎pegawai berkenaan berjawatan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, ibu pejabat polis di sebuah daerah di Sarawak.

"Pegawai kanan itu menerima tiga kali transaksi dari 24 Ogos iaitu sebanyak RM3,000, 11 September (RM5,000) dan 20 Oktober (RM8,000).

"Pegawai berusia 25 tahun ini juga cuba melindungi pembalak haram dan di dalam tahanan reman sehingga 26 Oktober," katanya semasa sidang media di ibu pejabat SPRM di sini hari ini.

Jelasnya, Bahagian Perisikan SPRM telah membuat pemerhatian dan pemantauan selama sembilan bulan di 12 lokasi di beberapa daerah di Sarawak.

"Ia meliputi Kuching, Limbang, Sibu, Ulu Baram, Lundu, Kapit dan Miri. Risikan juga mengesahkan bahawa kecurian berlaku di kawasan berkenaan," ujarnya.
Tambahnya, satu operasi bersepadu yang dinamakan Ops Tukul juga telah dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerak Am (PGA), Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Hutan Sarawak.


"Dalam operasi tersebut, sembilan orang ditangkap kerana memberi rasuah kepada pegawai-pegawai operasi supaya tidak mengambil tindakan ke atas kegiatan mencuri balak.

"Mereka yang ditangkap berumur antara 28 sehingga 70 tahun terdiri daripada pengarah‎ urusan syarikat, pemilik syarikat dan pengurus kem.

"Nilai rasuah yang diberi adalah RM300 sehingga RM10,000," tegasnya.

Kata Mohd. Shukri, walaupun nilai itu dilihat kecil, namun impaknya disifatkan terlalu besar.

"Dalam pemerhatian SPRM selama sembilan bulan, Kerajaan Sarawak mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM43 juta.

"Dalam setahun kerugiannya dianggarkan tidak kurang daripada RM100 juta," katanya.

Tambahnya, sehingga Rabu, empat orang didakwa di Limbang dan seorang lagi di Kuching di bawah tuduhan pembalakan haram.

"Kini SPRM menyiasat tidak kurang daripada 10 syarikat‎ dan menyita 30 akaun syarikat balak bernilai RM18 juta.

"Semuanya disita di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA)," jelasnya.

Katanya, mereka yang terlibat juga akan didakwa di bawah kesalahan seksyen 17(b) dan 17(a) Akta SPRM 2009.

Aktiviti pembalakan haram menyebabkan kemusnahan alam sekitar, merosakkan kawasan tadahan air, mencemarkan air sungai dan memberi kesan kepada hidupan liar.

Pembalak haram juga disifatkan menebang pokok-pokok kayu yang dilarang dan mempunyai nilai komersial yang tinggi seperti kayu berlian, tapang dan menggeris.





0 comments:

share2