Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, October 25, 2014

LPKPM: HARAMKAN MESIN TIKAM TELEFON BIMBIT


Dr Saharuddin


Kuala Lumpur - Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) menggesa kerajaan mengharam atau mengehadkan kepada orang dewasa sahaja sejenis permainan tikam-tikam yang menawarkan hadiah telefon bimbit yang dilaporkan mulai berleluasa di pasaran.

Presidennya Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengharamkan permainan itu kerana khuatir ia memberi kesan negatif kepada remaja.

Beliau berkata LPKPM menerima banyak aduan daripada ibu bapa tentang permainan itu yang mengundang ketagihan kepada anak-anak mereka.

"Ia mengandungi unsur perjudian, hanya perlu memasukkan wang kertas RM2 untuk setiap token, mereka yang bertuah akan dapat 'tikam' gajet-gajet mahal seperti i-Pad, 'smartphone' dan jam tangan yang mahal.

"Malangnya, mesin itu tidak terhad kepada golongan umur dan semua orang boleh mencuba nasib termasuk kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barang kawalan sempena musim perayaan Deepavali di pasaraya Giant di Ampang, semalam.

Dr Saharuddin berkata mesin permainan tikam-tikam berkenaan tidak sesuai sebagai mesin permainan awam kerana dikhuatiri boleh menyebabkan ketagihan selain merosakkan minda remaja bawah umur.

Katanya kadang-kadang terlihat remaja berpakaian seragam sekolah mengerumuni mesin-mesin tersebut dan mereka dipercayai ponteng sekolah semata-mata kerana hendak bermain permainan itu. 

Katanya pihaknya telah memaklumkan kepada KPDNKK dan persatuan-persatuan pengguna yang lain untuk sama-sama mengkaji adakah perlunya mesin-mesin tersebut dihadkan kepada golongan dewasa sahaja.

Sementara itu, Dr Saharuddin berkata sepanjang Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali dijalankan sejak 13 Oktober lalu, pihaknya menerima lebih 10 aduan mengenai ketidakpatuhan peniaga terhadap harga yang ditetapkan bagi 14 barangan.

"Kami bekerjasama dengan KPDNKK dan persatuan-persatuan pengguna menjalankan pemantauan harga di pasar raya, kedai runcit dan pasar basah selepas sesuatu musim perayaan kerana ketika inilah peniaga akan mengambil kesempatan menaikkan kembali harga walaupun Skim Kawalan Harga Musim Perayaan belum berakhir," katanya.

Katanya, sepanjang tempoh skim itu sehingga 27 Oktober ini, peniaga perlu mempamerkan tanda harga dan tidak menjual barang terkawal melebihi harga kawalan seperti yang telah ditetapkan.

Harga maksimum bagi barang terkawal itu ialah ayam hidup (RM5.70); ayam standard yang disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7); ayam super yang disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal (RM7.80).

Daging kambing tempatan bertulang (RM36); daging kambing biri-biri import bertulang (RM20); daging biri-biri import tanpa tulang (tidak termasuk paha) (RM25); dan daging paha biri-biri import bertulang (RM24).

Selain itu telur ayam gred A (36 sen), gred B (35 sen) dan gred C (34 sen); tomato (RM4.50) ; bawang merah kecil dari India (RM5); ubi kentang import dari China (RM3); dan kacang dal dari Australia (RM3.30).

0 comments:

share2