Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, October 20, 2014

KEDAH ATASI PAHANG 3-1


Piala Malaysia 2014


Kedah memperoleh bekalan selesa ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, apabila mengalahkan juara bertahan Pahang 3-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia 2014 di Stadium Darul Aman, di Alor Setar, malam tadi.

Kedah melaungkan amaran awal apabila membuka tirai jaringan menerusi pemain import, Namkung Woong, pada minit kelapan selepas menyudahkan hantaran daripada Mohd Rizal Ghazali.

Tersentak dengan gol tersebut, Pahang mula bangkit dan nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-16 apabila hantaran Mohd Azamuddin Md Akil gagal disempurnakan oleh R. Gopinathan.

Bagaimanapun, beraksi di depan penyokong sendiri, seakan memberi semangat kental buat pasukan Kedah untuk memburu gol kedua apabila gawang pasukan pelawat hampir dibolosi pada minit ke-38.

Namun tendangan kencang Badrol Bakhtiar hanya singgah di tepi tiang gol pasukan pelawat untuk Kedah berpuas hati dengan kedudukan 1-0 pada separuh masa.

Sebaik babak kedua bermula, Kedah bertindak garang apabila Mohd Farhan Roslan menanduk masuk gol kedua selepas menerima hantaran silang Badrol pada minit ke-48.

Anak buah Zainal Abidin Hassan, yang terus mengasak kubu pasukan Kedah, hampir memperoleh gol menerusi Mohd Faizol Hussain pada minit ke-51 namun tendangannya tersasar dari gawang pasukan tuan rumah.

Walaupun ketinggalan dua gol, Pahang tidak patah semangat malah meningkatkan usaha untuk mencari peluang sehingga berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan percuma pemain import, Matias Conti, pada minit ke-90.

Bagaimanapun, Khyril Muhymeen Zambri berjaya menjarakkan kedudukan Kedah menerusi jaringan pada waktu kecederaan sebelum visel penamat ditiupkan pengadil perlawanan Syed Azhar Syed Kamar.

Kedah akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Jumaat ini untuk perlawanan separuh akhir kedua bagi menentukan laluan ke final.

0 comments:

share2