Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, October 2, 2014

BERA : BILA PROJEK PEMBINAAN NAK SIAP?

Sebahagian penduduk mengadakan piket berdekatan lokasi pembinaan longkang di laluan utama sebagai tanda protes dengan tindakan pihak kontraktor yang mengabaikan ciri keselamatan.



KERAYONG - Penduduk sudah mula bengang dengan sikap kontraktor bagi kerja pembinaan longkang di Taman PAKR Kerayong Indah, dekat sini yang bukan sahaja tidak siapkan projek dalam tempoh ditetapkan malah turut tidak meletakkan papan tanda keselamatan melainkan dua kon sahaja dekat laluan keluar masuk taman perumahan ini.

Pengerusi persatuan penduduk, Sabri Aminudin berkata, kerja pembinaan yang sepatutnya dijadualkan siap sepenuhnya hari ini, namun belum menunjukkan perkembangan apabila lebih tiga minggu tergendala.

Menurutnya, pihak Majlis Daerah Bera (MBD) juga telah memberi amaran sebanyak dua kali kepada kontraktor terbabit berkaitan masalah ini namun gagal dipatuhi.

“Penduduk menuntut pihak kontraktor mengutamakan pembinaan longkang di laluan utama terlebih dahulu dan melalui perbincangan secara lisan, mereka berjanji menyelesaikan dalam beberapa hari sahaja.

“Bagaimanapun, janji hanya tinggal janji apabila pihak kontraktor langsung tidak mahu bertolak ansur menyebabkan kerja pembinaan tertertangguh sehingga ke hari ini,” katanya.
Penduduk terdedah risiko kemalangan

Sementara itu, Pengerusi Jiran Muda KRT, Masayu Abd Manaf berkata, penduduk perlu menunggu giliran untuk melalui jalan terbabit memandangkan laluan hanya dibuka sehala, malah lebih berbahaya apabila kawasan ini sering menjadi lokasi permainan baru bagi kanak-kanak.

Setakat ini memang masih belum berlaku sebarang insiden tidak diingini namun katanya, keadaan projek yang tergendala itu berbahaya kepada penduduk berdekatan kerana tiada ciri-ciri keselamatan diletakkan pada tapak pembinaan.

“Kita tidak menghalang kemajuan yang dibuat tetapi biarlah mengikut peraturan atau sistem yang betul.

“Sekarang memang belum berlaku kejadian tidak diingini, tetapi kami bimbang kerana setiap hari terdedah kepada risiko bahaya dan situasi jadi lebih rumit apabila masalah ini berbangkit,” katanya.

Bukan itu sahaja malah dalam tempoh empat hari lagi menurutnya, penduduk akan menyambut Aidiladha dan pada ketika itu juga ramai anak-anak perantau pulang ke rumah serta keadaan akan bertambah sesak.


MDB tidak bersalah

Menurut Timbalan Ketua Plantun Rela, Yusri Isa, pihaknya percaya MDB peka dengan perkara ini memandangkan sudah ada perbincangan antara MDB dengan pihak kontraktor.

Katanya, penduduk mahu masalah kelewatan pembinaan longkang di laluan utama diberikan keutamaan walaupun tempoh pembinaan melebihi tempoh yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, kami tidak salahkan MDB kerana mereka berusaha untuk menaik taraf taman perumahan di sini yang sering dinaiki air jika hujan tanpa henti selama dua jam.

“Memang kami mengharapkan perubahan seumpama ini bagi mengelak berlakunya banjir kilat pada masa akan datang,” katanya.


Tempoh seminggu siapkan projek

Yang Dipertua MDB, Shamsuddin Sah Mohd Said berkata, mereka sudah dimaklumkan setiap permasalahan mengenai pembinaan terbabit, malah sudah bersemuka dengan pihak kontraktor.

“Kita pantau kerja pembinaan yang dilakukan, tetapi memandangkan mereka tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, kita minta mereka buat semula.

“Malah pembinaan itu tidak mengikut aras yang sesuai, dan pembinaan longkang itu akan jadi sia-sia jika saliran itu tidak sempurna,” katanya.

Katanya, pihaknya juga sudah meminta kontraktor mempercepatkan pembinaan longkang di laluan utama dan mereka diberikan tempoh seminggu untuk berbuat demikian.

“Jika masih gagal berbuat demikian, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.





0 comments:

share2