Kuala Lumpur - Malaysia memandang serius penularan ideologi kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di selatan negara Filipina yang dilihat boleh mengancam keselamatan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia berikutan beberapa kumpulan militan di selatan Filipina seperti Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF), kumpulan Abu Sayyaf dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap ISIS.
"Walaupun (ancaman) masih di tahap rendah, pihak keselamatan tidak sesekali memandang ringan dan akan memantau secara serius dan mengambil segala tindakan yang perlu dalam memastikan ideologi yang dipelopori oleh pendokong ISIS tidak menular ke negara ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.
Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Hishammuddin berkata penambahan aset pertahanan dan keselamatan di Sabah, khasnya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) juga merupakan langkah proaktif kerajaan untuk mengekang ancaman ISIS.
Katanya, pelbagai usaha penambahbaikan aset pertahanan di Sabah telah dan akan diambil untuk tujuan itu.
Ini termasuk memanjangkan landasan terbang di Lahad Datu bagi membolehkan pesawat tentera C130 mendarat, menaik taraf pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Labuan untuk menempatkan pesawat pejuang Hawk dan memperoleh radar penguasaan berkeupayaan tinggi.
Selain itu, kerajaan juga membina dua Pangkalan Operasi Hadapan dalam bentuk 'Sea Base' bertujuan untuk mengekang ancaman, khususnya di laluan keluar perairan negara selain berperanan sebagai pusat pemerintahan, pemintasan dan penyekatan laluan, pengawasan, pos pemeriksaan di laut dan penguatkuasaan laluan khusus.
"Konsep Sea Basing juga dapat menyediakan lokasi platform bergerak dan statik yang mampu memanjangkan jangkauan dan seterusnya mensingkatkan masa bertindak pasukan keselamatan," katanya.
Pangkalan Operasi Hadapan ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada April tahun depan.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Hishammuddin berkata, kerajaan memantau serangan udara Amerika Syarikat ke atas ISIS untuk belajar bagaimana mereka menangani ancaman itu.
"Ancaman itu sesuatu yang baharu, sebab itu agak sukar bagi Presiden (Barack) Obama untuk mengetahui bagaimana untuk berurusan dengan ISIS pada masa ini.
"Tetapi kita mempunyai kelebihan untuk melihat, dari segi perkembangannya, sama ada ia berkesan dan cuba kaitkan dengan situasi kita di sini di Malaysia," katanya kepada pemberita.
Beliau menambah kerajaan juga mengukuhkan kerjasama dengan negara jiran terutama Filipina, Indonesia dan Brunei dan mengambil langkah proaktif sebelum melihat kemungkinan membabitkan kumpulan yang tidak mudah dikenal pasti itu.
Ditanya sama ada 39 rakyat Malaysia yang dikenal pasti mempunyai hubungan dengan kumpulan militan termasuk ISIS boleh menimbulkan ancaman kepada negara ini, beliau percaya mereka tidak menyasarkan Malaysia.
"Saya tidak melihat mereka menyasarkan kita. Mereka warga Malaysia dan mereka pergi ke Syria untuk menyokong ISIS, tetapi saya tidak fikir mereka mempunyai niat untuk menyasarkan Malaysia," katanya.
0 comments:
Post a Comment