Kuala Lumpur: Polis telah mengenal pasti individu yang menjadi penggerak utama dalam merekrut rakyat tempatan menyertai kumpulan militan di Syria, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Beliau berkata selain individu terbabit, polis juga mengenal pasti beberapa rakyat tempatan yang menjadi pengikut kumpulan berkenaan.
Polis bagaimanapun enggan mendedahkan identiti serta maklumat lanjut mengenai perkara itu dan tindakan sewajarnya akan diambil apabila tiba waktunya.
“Kami tahu dan kami kenal mereka. Jadi tunggulah, jika mereka degil juga kami akan datang ambil tindakan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Pasukan Polis Bantuan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) di sini semalam.
Katanya berdasarkan siasatan, mereka yang terpengaruh menyertai kumpulan militan dan kononnya untuk berjihad di Syria adalah disebabkan sogokan dengan gambaran bahawa itu satu-satunya cara untuk berjihad demi agama, bangsa dan negara.
Orang muda terpedaya
“Golongan muda ini kebanyakan mereka terikut-ikut memandangkan mereka lebih bersemangat. Adakalanya bukan kerana ditawarkan dengan duit tetapi kerana mereka tidak pernah keluar negara dan rasa seronok bila ada orang taja untuk ke luar negara sedangkan tujuannya untuk menyertai kumpulan militan seperti Negara Islam (IS) ini,” katanya.
Khalid berkata, kumpulan yang bertanggungjawab merekrut warga tempatan ini bergerak dalam satu rangkaian.
“Cara mereka rekrut masuk anggota banyak cara, sama ada melalui negara ketiga atau keempat sebelum sampai ke sana. Mereka ada rangkaian rakan-rakan yang berada di Turki dan beberapa buah negara lain dan mereka ini bertindak menguruskan dan melancarkan pergerakan anggota yang telah direkrut untuk masuk ke Syria,” katanya.
“Kami memantau perkara ini secara rapat dan akan ambil tindakan menangkap sebelum mereka meninggalkan negara,” katanya.
Semalam, polis mendedahkan sebanyak 14 individu ditahan termasuk tiga individu disyaki penggerak utama yang bertanggunjawab merekrut, membiayai dan mengatur pemergian rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai kumpulan IS.
Katanya dengan tangkapan terbaru itu, setakat ini sebanyak 37 orang telah ditahan, dipercayai terbabit dengan kumpulan militan.
0 comments:
Post a Comment