New York: Malaysia dipilih sebagai satu daripada lima anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) apabila meraih majoriti besar, semalam.
Malaysia mendapat 187 undi dari 192 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit.
Pengundian itu diadakan bagi mengisi lima kekosongan dengan Malaysia, Angola dan Venezuela dicalonkan sebagai calon tunggal dari rantau masing-masing.
Angola yang meraih 190 undi dipilih dengan Malaysia (187), diikuti Venezuela (181) dan New Zealand (145) sebagai anggota tidak tetap UNSC bagi penggal 2015-2016.
Ketika ini, satu lagi tempat sedang ditentukan di antara Sepanyol dan Turki.
Sebaik selepas keputusan undian diumumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau amat gembira untuk mengumumkan bahawa Malaysia berjaya meraih satu kerusi UNSC sebagai wakil tidak tetap dan akan berkhidmat mulai 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016.
"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan penghargaan kami yang tidak terhingga dan kepada semua negara anggota PBB kerana menyokong dan mengundi Malaysia.
"Jumlah undi yang diterima adalah testimoni kepada reputasi cemerlang sejak sekian lama sebagai wakil yang bertanggungjawab terhadap komuniti antarabangsa terutama dalam konteks keamanan dan keselamatan antarabangsa," katanya.
Anifah berkata, jumlah undi yang diterima membolehkan Malaysia meraih sokongan padu dan mengukuhkan kredibilitinya apabila menjadi wakil tidak tetap majlis berkenaan.
"Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga Malaysia atas sokongan negara anggota di peringkat rantau terutama Asia, Kumpulan Asia Pasifik (APG) dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC)," katanya.
Anifah berkata, Malaysia amat menghargai dan terharu dengan kepercayaan serta perpaduan yang ditunjukkan oleh sebahagian besar negara anggota PBB yang menyokong pencalonan Malaysia untuk kerusi wakil tidak tetap majlis berkenaan.
"Jumlah undi yang diterima adalah testimoni kepada reputasi cemerlang sejak sekian lama sebagai wakil yang bertanggungjawab terhadap komuniti antarabangsa terutama dalam konteks keamanan dan keselamatan antarabangsa" - Datuk Seri Anifah Aman
"Berikutnya, kita amat menyedari harapan yang disandarkan kepada Malaysia sebagai wakil dalam UNSC.
"Kita ingin mengulangi ikrar untuk bekerjasama dengan wakil lain dalam majlis berkenaan, malah dengan seramai mungkin negara anggota PBB serta rakan lain dan negara anggota bagi memenuhi mandat dan mendukung Piagam PBB untuk kebaikan bersama," katanya.
Mengenai keutamaan yang harus dilaksanakan sebagai wakil UNSC, Malaysia menyasarkan untuk terus menyokong wawasan berkaitan keamanan dan kesederhanaan, mempromosikan rundingan sebagai pendapatan menyelesaikan konflik, meningkatkan misi keamanan dan menyemai keamanan menerusi sokongan teknikal dari negara yang bangkit daripada konflik.
Malaysia juga akan terus menggalakkan perbincangan mengenai penambahbaikan Majlis Keselamatan itu.
Anifah turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas segala bimbingan dan kepimpinan dalam kempen UNSC untuk Malaysia.
0 comments:
Post a Comment