ALOR SETAR - Seramai 15 pengusaha ladang ketum yang sudah dikenalpasti akan menerima bimbingan untuk mengusahakan tanaman alternatif bagi menjana pendapatan mereka.
Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata, julung kalinya mereka bekerjasama dengan Jabatan Pertanian menganjurkan siri pertama berjumpa dengan pengusaha terlibat untuk menerangkan keperluan menukar kepada tanaman lain.
Menurutnya, usaha itu perlu dilaksanakan segera berikutan tahun hadapan kemungkinan kesalahan melibatkan ketum akan diubah dari Akta Racun kepada Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Selain denda dan hukuman lebih berat dikenakan, tanaman mereka boleh dimusnahkan mengikut peruntukkan undang-undang.
"Pembentangan Bajet 2015 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut memperuntukkan sejumlah besar wang untuk sektor pertanian yang bukan sahaja dapat membantu golongan petani tetapi menarik minat lebih ramai pengusaha ketum terlibat dalam tanaman alternatif yang lain.
"Berdasarkan rekod, kira-kira 3.2 hektar kawasan ladang ditanam dengan ketum tidak termasuk di belakang rumah. Dipercayai satu hektar boleh memuatkan 1,500 pokok yang menjana pendapatan kira-kira RM200,000 setahun," katanya kepada media sewaktu menghadiri program Skuad 1 Malaysia Futsal Piala Pengarah AADK Kedah, D' Futsal, Titi Gajah, di sini, hari ini.
Menurutnya, siri kedua bakal dilaksanakan dalam masa terdekat untuk membantu mereka mengenal pasti tanaman yang bersesuaian.
"Antara tanaman alternatif yang boleh diusahakan ialah jagung dan cili bagi tanaman jangka pendek. Walaupun hasil tidak begitu lumayan berbanding ketum namun kesejahteraan masyarakat lebih penting kerana penyalahgunaan ketum mendatangkan kesan buruk terhadap generasi muda.
"Kawasan paling banyak ladang ketum adalah Kubang Pasu dan beberapa kawasan lain termasuk Padang Terap serta Sik," katanya.
Mohammad Nazer berkata, AADK turut bekerjasama dengan majlis tindakan daerah serta bergerak bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk mengenal pasti lokasi pengusaha ketum yang lain.
"Kita turut mengadakan kempen di setiap daerah untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya penyalahgunaan ketum kerana masih ada yang menganggap minum air ketum tidak salah hanya sebagai ubat serta minuman tenaga.
"Sesi dialog bersama masyarakat juga dapat membantu mereka lebih memahami kesan tanaman itu dalam jangka panjang. Disebabkan tiada akta ketat ada pelajar sekolah berani membawa minuman itu ke sekolah," katanya.
0 comments:
Post a Comment