KUANTAN - Beberapa ahli parlimen dan Adun Pakatan Rakyat (PR) yang dijemput menghadiri sesi perbincangan mengenai misi lawatan susulan ke Lynas Advanced Materials Plant oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang akan berlangsung pada 13 hingga 17 Oktober ini tidak puas hati dengan beberapa syarat yang dikenakan.
Antaranya ialah masa selama 15 minit yang diperuntukkan untuk satu-satu slot perbincangan yang dirasakan tidak memadai dan apakah relevannya perbincangan berkenaan sekiranya ia tidak membawa sebarang kebaikan atau perkara positif diinginkan rakyat.
Adun Beserah, Andansura Rabu berkata, beliau masih belum membuat keputusan sama ada mahu menyertai sesi perbincangan itu atau sebaliknya.
Menurutnya, perbincangan dan lawatan yang bakal dijalankan juga seolah-olah tiada maknanya memandangkan Lynas sudah diberikan lesen operasi secara sah.
“Sebelum ini lawatan pernah dilakukan kira-kira dua tahun lalu dan selepas itu Lynas diberikan lesen operasi secara sah.
“Sepatutnya, sebelum diberikan lesen sah, lawatan untuk mendapatkan status terkini operasi dan pemantauan projek LAMP serta status pelaksanaan seperti ini dilakukan terlebih dahulu.
“Proses dan prosedur ini seolah-olah sudah terbalik serta bukan kesemua Adun PR dijemput hadir tetapi sebahagian sahaja.
“Oleh itu, saya perlu mempertimbangkan terlebih dahulu sama ada mahu menerima tawaran menyertai sesi perbincangan ini atau menolaknya supaya kita tidak melakukan perkara sia-sia,” katanya pada sidang media di Pejabat PKR Kuantan, di sini, semalam.
Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chong Siang berkata, dalam tempoh slot yang singkat sesi perbincangan itu dirasakan tidak membawa kepada komunikasi dua hala tetapi beliau akan menyertainya demi perjuangan untuk rakyat.
“Kita mohon memanjangkan slot 15 minit untuk sesi perbincangan kepada tempoh lebih lama tetapi cadangan itu ditolak dan kita tidak boleh buat apa-apa.
“Kami juga memohon kesemua 12 Adun dijemput untuk menyertai sesi perbincangan tetapi turut ditolak.
“Difahamkan ketika slot perbincangan terdiri daripada tujuh panel dan untuk sesi memperkenalkan diri sahaja sudah mengambil masa kira-kira 10 minit.
“Sepatutnya masa lebih lama diperuntukkan supaya kami dapat mengemukakan cadangan atau pandangan tetapi sesi perbincangan ini dirasakan kami hanya mampu mendengar sahaja,” katanya.
0 comments:
Post a Comment