Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, September 5, 2014

SHAHRUL SEDIA LAMAR ADIRA


Adira

Hubungan antara penyanyi, Adira dengan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia, Shahrul Nasrun Datuk Kamaruddin bukan lagi rahsia.

Bahkan sejak mengakui mereka kini dalam proses mengenali hati budi, peminat bagaikan merestui dan tidak sabar melihat mereka mendirikan rumah tangga.

Dek kerana itu, kesempatan bertemu Shahrul pada Majlis Pelancaran Kempen Salute Malaysia di Universiti Kuala Lumpur, Rabu, digunakan pihak media untuk bertanyakan dengan lebih lanjut perkembangan hubungan pasangan ini.

"Alhamdulillah, hubungan kami seperti biasa, dia sibuk dengan kerjaya dia, saya sibuk dengan kerja saya. Tapi kami selalu berkomunikasi menerusi telefon. Cuma ada kelapangan seminggu atau dua minggu sekali baru saya jumpa," ujarnya yang pada mula enggan berbicara lanjut mengenai Adira.

Namun Shahrul, 28, tidak berat mengakui bahawa dia sudah bersedia untuk membawa hubungan mereka selangkah ke depan.

"Baik saya mahu pun dia sudah berjumpa keluarga masing-masing. Sikap Adira yang peramah, pandai menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja dan pihak mengambil hati orang tua saya menyebabkan ibu saya cukup menyenanginya.

"Kalau bercakap soal perkahwinan, siapa yang tidak mahu hubungan yang dibina ini kekal hingga ke jinjang pelamin, tapi kerana kesibukan karier masing-masing, jadi saya tangguhkan hasrat itu terlebih dahulu.

"Saya mahu memberi fokus pada kerja terlebih dahulu dan saya bimbang kalau terlalu sibuk, saya akan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga pula selepas berkahwin nanti,” ujarnya yang merancang untuk berkahwin dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Syukur doa termakbul

Sementara itu, ditanya media mengenai imej Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 23, yang kini sudah bertudung, Shahrul berkata, dia bersyukur kerana doanya yang menginginkan kekasihnya itu berhijab akhirnya tertunai.

Bagaimanapun dia berharap agar masyarakat tidak memberi tanggapan negatif terhadap imej baharu Adira.

"Alhamdulillah saya pun senang melihat imej baharunya itu, tapi ingin saya tegaskan dia bertudung bukan kerana saya. Tapi saya akui ada mendoakan dan memberi 'hint' kepadanya, contohnya sebelum menjelang Aidilfitri lalu, saya ada belikan dia banyak tudung dan saya
pujilah dia dengan mengatakan dia nampak lebih cantik bila bertudung.

"Alhamdulillah doa saya dimakbulkan," katanya yang turut gembira melihat Adira sudah menjual baju-baju lamanya dan mendermakan wang tersebut kepada anak yatim.

0 comments:

share2