Georgetown - "Saya hanya tunggu masa yang sesuai untuk menembak suspek dan apabila saya lihat dia rebah, saya rasa amat lega.”
Itu yang diceritakan Hussin Ali (bukan nama sebenar) apabila dia berjaya menembak mati seorang lelaki yang cuba merompak sebuah bank di Sungai Dua di sini, 28 Ogos lalu.
Hussin yang berkhidmat selama dua tahun sebagai pengawal keselamatan berkata, pada mulanya dia gelabah apabila berhadapan dengan situasi berkenaan namun apabila mengenangkan tanggungjawabnya untuk mengawal keselamatan bank berkenaan, dia bertindak nekad untuk menembak perompak berkenaan.
Menceritakan semula kejadian, Hussin berkata, suspek yang berkaca mata hitam dan bermisai itu masuk ke dalam bank berkenaan dan berpura-pura sebagai pelanggan.
Menurutnya, lelaki itu kemudian menjerit dengan kuat ‘rompakan’ dan ketika itu suasana di dalam bank tiba-tiba menjadi senyap dan semua kakitangan serta beberapa pelanggan yang berada di dalam bank menundukkan kepala untuk menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian, semuanya dilihat dapat menenangkan diri dan saya sempat mengarahkan beberapa pelanggan supaya menyelamatkan diri dengan pergi ke tepi kaunter sebelum tiba-tiba masuk seorang pelanggan wanita bersama seorang anak perempuan berusia lima tahun untuk melakukan transaksi perbankan.
“Suspek cuba menarik pelanggan ke bahagian tepi kaunter tetapi gagal sebaliknya dia terus kembali ke bahagian depan kaunter dan saya terus melepaskan tembakan di bahagian dadanya sebelum dia rebah ke lantai biarpun cuba bangun sebelum satu lagi das tembakan dilepaskan,” katanya ketika ditemui media selepas menerima anugerah daripada polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, semalam.
Anugerah disampaikan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi.
Sementara itu, Hussin berkata, walaupun sedar tindakan yang dilakukannya itu berbahaya kepada pelanggan dan pekerja di bank berkenaan, namun dia menunggu masa yang sesuai untuk membidik tembakan terhadap suspek.
“Apabila suspek tidak bergerak lagi, saya lega dan bersyukur kerana semua pekerja dan pelanggan di bank berkenaan selamat.
“Tindakan pantas yang saya lakukan berjaya menyelamatkan keadaan,” katanya.
Hussin berkata, kejadian yang berlaku langsung tidak akan melemahkan semangatnya malah terus kuat untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik untuk majikan mahupun pengurusan syarikat keselamatan.
0 comments:
Post a Comment