Kuala Krai - Hujan batu di Kampung Enggong dekat sini, yang berlaku Isnin lalu menggemparkan penduduk, apatah lagi seorang wanita cedera akibat kejadian tersebut.
Ia juga pastinya mencatatkan sejarah kerana itulah kali pertama hujan batu yang bersaiz mencecah dua sentimeter berlaku di kampung berkenaan dan menimbulkan kebimbangan kepada penduduk jika ia berulang pada masa akan datang.
Dua tahun lalu, kejadian sama pernah berlaku tetapi saiz hujan batu agak kecil. Kejadian kali ini juga menyebabkan tujuh bumbung rumah rosak.
Seorang penduduk kampung, Samihah Abdul Samad, 39, yang cedera di tepi hidung berkata, dia tidak menyangka hujan batu boleh terpelanting masuk ke dalam kedainya.
"Tepi hidung saya berdarah akibat terkena hujan batu. Tidak sangka pula sehingga cedera sedangkan ketika itu saya berada di dalam kedai.
"Mujur, luka kecil sahaja dan tidak memudaratkan. Pada mulanya, saya ingatkan biji getah yang terpelanting masuk ke dalam kedai tetapi selepas mengamatinya, baru mengetahui ketulan ais yang terkena tepi hidung," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian hanya seorang pelanggan berada di dalam kedai kerana hujan agak lebat.
"Saya pula berada di kaunter. Terkejut juga kerana hujan batu boleh terkena saya sedangkan jarak kaunter dan hadapan kedai agak jauh.
"Kejadian terkena hujan batu ini tidak akan dilupakan sepanjang hayat walaupun hanya mengalami kecederaan ringan," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Berlindung dalam kereta
Seorang lagi penduduk, Padil Abdullah, 47, berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Zaiton Tahir, 42, dan anaknya berusia 14 tahun baharu pulang dari Pasar Besar Kuala Krai.
Sebaik tiba katanya, hujan renyai diikuti ribut kencang dan hujan batu, menyebabkan dia sekeluarga , segera masuk ke dalam rumah.
Menurutnya, ketika itu dia mendengar bunyi yang begitu kuat di atas bumbung dan
air mula membasahi bahagian dalam rumah.
Tambahnya, ketika itu dia baru menyedari hujan batu yang menembusi hampir keseluruhan bumbung rumahnya.
“Kami sekeluarga amat takut, isteri menangis kerana terlalu panik dan bimbang berlaku kejadian tidak diingini.
“Setelah melihat ketulan ais agak besar jatuh ke dalam rumah menerusi bumbung yang tembus, kami tiga beranak kemudiannya masuk ke dalam kereta yang diletakkan di bawah garaj untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Padil berkata, pada mulanya dia mahu memandu kereta keluar dari kampung tersebut tetapi disebabkan bimbang cermin kereta pecah, mereka hanya menunggu hujan berhenti di dalam kenderaan.
Hanya mampu berselawat
Seorang lagi penduduk, Azizah Wahab, 52, yang sedang memasak ketika kejadian berkata, dia tidak dapat melupakan kejadian itu kerana sepanjang hayatnya tidak pernah melihat butiran hujan yang bersaiz besar dan tidak pernah melalui situasi mencemaskan seperti itu.
“Kejadian Isnin lalu amat menakutkan dan mengejutkan, bukan sahaja kepada saya tetapi penduduk kampung ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun hujan batu berlaku kira-kira 15 minit tetapi baginya, ia seperti tempoh yang amat panjang.
"Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya mampu berselawat dan berdoa agar tidak ditimpa bencana serta diselamatkan daripada kejadian tidak diingini," katanya.
Bagi Rosiah Semail, 33, pula, dia lari ke rumah jirannya kerana takut tinggal di rumah bersama tiga anak berikutan suaminya tiada ketika kejadian.
“Hujan batu menembusi bumbung rumah dan ia menakutkan kami anak-beranak. Jadi, saya segera mencari perlindungan di rumah jiran," katanya.
Pakai topi keledar elak cedera
Sementara itu, dalam kejadian hujan batu Isnin lalu, ada penduduk mengambil kesempatan mengutip ketulan ais dengan memakai topi keledar bagi mengelak kepala cedera.
Ada juga yang merakamkan kejadian dengan video untuk menjelaskan lagi keadaan sebenar Isnin lalu kepada rakan dan keluarga yang lain.
Malah, Sinar Harian turut berpeluang melihat suasana penduduk mengutip ketulan ais tersebut.
Penduduk mendakwa, ketulan air batu yang jatuh mempunyai pelbagai bentuk dan saiz hinggakan ada yang menyerupai bunga.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan ( JKKKP) Mukim Enggong, Azmi Matkar berkata, penduduk telah mengisi borang memohon bantuan zink menggantikan bumbung yang rosak.
Menurutnya, penduduk yang ditimpa bencana kali ini tidak mampu membeli zink baharu dan memerlukan bantuan bagi tujuan tersebut.
0 comments:
Post a Comment