Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 11, 2014

'SAYA DAH TAK CUKUP MASA LAGI'


Keadaan kesihatan Muhammad Ilyas semakin meruncing dan tidak menentu.

Ipoh – “Saya dah tak cukup masa, dalam tempoh dua bulan ini saya perlu kumpul wang untuk pembedahan...itu saja jalan untuk menyelamatkan anak saya,” luah Sazariah Abdul Aziz.

Sazariah, 32, berkata, keadaan anak bongsunya, Putra Muhammad Ilyas Rahizalkhiri, 2, yang mengidap penyakit Biliary Atresia (hempedu), semakin hari semakin tidak menentu.

Menurutnya, daripada RM150,000 kos pembedahan yang diperlukan, dia kini hanya mampu mengumpul sekitar RM30,000 hasil wang simpanan dan sumbangan rakan serta orang ramai.

“Kami masih gigih untuk mengumpul wang pembiayaan ini, harap dalam tempoh dua bulan ini kami dapat sediakan wang secukupnya.

“Saya tak dapat bayangkan jika lebih lama tempoh diperlukan untuk pembedahan ini,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kanak-kanak lelaki yang mesra dipanggil Ilyas mula dikesan mempunyai masalah saluran hempedu dari luar hati sejak Mac lalu, apabila mengalami pendarahan tanpa henti.

Keadaan itu menyebabkan anak bongsu daripada enam beradik yang dulu sentiasa riang ini berubah lesu dan sering menangis.

Sazariah berkata, berdasarkan nasihat doktor, mereka kini perlu menyegerakan pembedahan pemindahan hati bagi memulihkan keadaan Ilyas yang dijadualkan dilakukan di India.

Katanya, berdasarkan keadaan itu, dia sendiri akan menjadi penyumbang yang akan mendermakan hati kepada anaknya, memandangkan pencarian penderma selama enam bulan ini, masih gagal.

“Untuk mencari penderma yang sesuai agak payah, apatah lagi Ilyas berdarah O, setakat ini, hanya saya yang layak. Saya tak kisah itu semua, asalkan anak saya mampu pulih seperti dulu,” katanya.

Bapa Ilyas, Rahizalkhiri Rahim, 39, berkata, selain rawatan susulan, mereka juga mencari alternatif dengan memberikan makanan tambahan bagi mengurangkan ‘kesan’ penyakit dialami.

Dia mengakui, sebagai pesara tentera yang kini hanya terlibat dalam kerja kontrak berunsur kebajikan dan khidmat sosial, tidak mampu untuk menampung kos rawatan anaknya itu.

Orang ramai juga boleh mengikuti perkembangan mengenai Ilyas melalui laman Facebook, Putra Muhammad Ilyas - Billiary Atresia, ditubuhkan sendiri Sazariah yang sebelum ini berkecimpung dalam perniagaan atas talian.

0 comments:

share2