Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, September 11, 2014

BANK NEGARA LELONG WANG KERTAS


Bank Negara

Shah Alam - Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengadakan jualan lelong wang kertas ringgit Malaysia dengan nombor siri istimewa kepada orang ramai.

Jualan yang pertama kali diadakan itu akan berlangsung di Auditorium Sasana Kijang, BNM pada 27 September ini.

Menurut BNM, tujuan jualan lelong itu adalah untuk memberikan peluang sama rata kepada orang ramai untuk memperoleh wang kertas bernombor siri istimewa yang menjadi rebutan, contohnya CC8888888 atau AY1234567.

"Wang kertas bernombor siri istimewa ini mempunyai nilai premium dalam pasaran pengumpul wang kertas.

"Jualan lelong ini juga merupakan salah satu inisiatif BNM untuk menggalakkan minat dan pemahaman yang lebih baik tentang bidang numismatik dalam kalangan orang ramai," menurut bank pusat itu dalam satu kenyataan, semalam.

BNM berkata, hasil jualan itu akan digunakan untuk menyokong program tanggungjawab sosial korporat BNM termasuk menyediakan peralatan secara percuma bagi membantu golongan kurang upaya (OKU) penglihatan dan peruncit kecil mengenal pasti serta mengesahkan ketulenan wang kertas.

"Hasil jualan juga akan digunakan untuk program jangkauan bagi mendidik orang ramai teknik pengesahan wang kertas dan duit syiling selain cara yang betul mengendalikan wang kertas polimer," menurut bank itu.

Jualan lelong tersebut akan dikendalikan oleh jurulelong yang dilantik BNM, iaitu MNP Auctioneers (Central) Sdn Bhd.

Maklumat lanjut berhubung jualan lelong itu boleh didapati di laman web www.mnp.
com.my.

0 comments:

share2